Roti Bukan Umpan Undi… Mohamad Alamin Tempelak Parti Perkecilkan Sabah
KIMANIS, 14 Nov – Timbalan Menteri Luar Negeri, Datuk Mohamad Alamin menegaskan bahawa rakyat Sabah tidak wajar menerima mana-mana parti politik yang memperkecilkan masyarakat negeri itu atau gagal memahami budaya setempat.
Beliau berkata demikian susulan kenyataan ADUN Pas yang juga Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kesihatan Kedah, Mansor Zakaria yang didakwa menghina rakyat Sabah dengan menyatakan bahawa ‘Orang Sabah kempen dia bagi roti Gardenia sahaja’.
Menurut Mohamad yang juga Ahli Parlimen Kimanis, terdapat pihak luar yang menggambarkan seolah-olah rakyat Sabah mudah dipengaruhi, sekali gus menunjukkan ketidaktahuan mereka terhadap realiti masyarakat negeri terbabit.

“Ada suara yang kata orang Sabah ini senang saja digula-gulakan. Bagi roti pun cukup. Inilah parti yang tak kenal Sabah dan tak kenal budaya kita,” tegasnya.
Jelasnya, sikap memperkecilkan masyarakat Sabah adalah bukti bahawa parti tersebut tidak mempunyai kredibiliti dan tidak layak diterima rakyat.
“Kalau budaya kita pun mereka tak faham, bagaimana mereka mahu menawarkan apa-apa kepada rakyat Sabah? Parti yang memperkecil-kecilkan kita, yang menganggap rakyat Sabah mudah digula-gulakan, ini kita harus tolak,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada UMNO Online selepas menghadiri Program Sentuhan Kasih PTPTN 2025 bagi kawasan Kimanis di Dewan Perpaduan Kampung Mandahan, yang turut dihadiri Pengerusi PTPTN, Datuk Seri Norliza Abdul Rahim.
Mohamad juga menekankan bahawa Sabah memerlukan pemimpin dan parti yang benar-benar memahami denyut nadi rakyat serta menghormati budaya negeri ini.
“Pilih parti yang faham Sabah, faham budaya Sabah, tahu apa yang rakyat Sabah mahu. Nilai secara rasional, jangan ikut emosi. Tolak parti yang tidak menghormati kita,” jelasnya.

Beliau turut mengingatkan bahawa pembangunan sebenar yang dinikmati di Kimanis dan banyak kawasan lain adalah hasil kerja parti yang terbukti rekod prestasinya, iaitu Barisan Nasional bukan parti yang hanya muncul setiap lima tahun tanpa memahami identiti masyarakat Sabah.
Berkaitan Program Sentuhan Kasih PTPTN 2025, Mohamad menegaskan bahawa ini adalah antara inisiatif memastikan pendidikan terus diperkasa kerana kunci perubahan hidup adalah melalui peningkatan pendidikan dan tidak wajar bergantung sepenuhnya kepada pinjaman semata-mata.
Justeru, katanya, amalan menabung sejak anak-anak kecil mesti diperkukuh supaya mereka mampu melanjutkan pelajaran hingga ke peringkat universiti.
Beliau turut mengingatkan bahawa usaha PTPTN menyediakan platform menabung adalah sebahagian daripada tugasan besar untuk meningkatkan masa depan pendidikan generasi baharu.
“Ikrar saya tidak pernah berubah. Selagi saya sebagai pemimpin, sama ada sebagai Ahli Parlimen atau apa jua kapasiti, insya-Allah saya akan lakukan yang terbaik untuk rakyat,” katanya yang juga calon BN di DUN Bongawan lagi. – UMNO Online
