‘Kita Bikin Balik Sabah’, Tekankan Kepentingan Rakyat – Erwan Palette
KOTA KINABALU, 14 Nov – Naib Ketua UMNO Bahagian Tawau, Erwan Palette bertekad memastikan Sabah kembali menjadi sebuah negeri yang kuat, berpadu dan maju di bawah kepimpinan berpengalaman serta berjiwa rakyat.
Jelasnya, Sabah kini memerlukan pemimpin yang mampu membawa kestabilan dan pembangunan menyeluruh demi kesejahteraan rakyat.
“Inilah masanya ‘kita bina balik Sabah’ menjadi sebuah negeri yang kuat, berpadu dan maju di bawah kepimpinan yang berpengalaman serta berjiwa rakyat. Perjuangan Barisan Nasional (BN) adalah kunci utama untuk memastikan parti itu kembali menjadi pilihan rakyat Sabah.
“Dengan semangat solidariti dan kesetiaan kepada perjuangan, marilah kita pastikan BN kembali menjadi pilihan rakyat Sabah. Kepada seluruh rakyat di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Balung, khususnya para pengundi muda dan akar umbi BN, marilah perkukuh jentera dan turun beramai-ramai memberikan sokongan padu kepada parti ini.
“Penglibatan pengundi muda amat penting kerana mereka adalah generasi masa depan yang menentukan hala tuju Sabah. Dengan sokongan padu kita mampu memperkukuh parti dan memastikan kesejahteraan rakyat terus dijaga,” katanya kepada UMNO Online.
Tambah Erwan lagi, kepimpinan BN telah terbukti berpengalaman dalam menangani isu pembangunan dan kebajikan rakyat .
Pada masa yang sama, Erwan yang juga calon BN bagi DUN Balung menzahirkan penghargaan kepada seluruh pimpinan parti kerana keputusan yang dibuat mencerminkan kebijaksanaan dan kepercayaan dalam membuat pelantikan calon-calon BN bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah kali ini.

“Saya mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, dan Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin, atas kepercayaan dan kebijaksanaan dalam membuat pelantikan calon-calon BN bagi PRN Sabah ke-17.
“Keputusan yang dibuat mencerminkan semangat perpaduan, kesinambungan dan pembaharuan yang menjadi tunjang perjuangan BN untuk membina semula negeri Sabah ke arah kestabilan dan kemakmuran,” ujarnya.
Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) menetapkan 29 November 2025 ini sebagai tarikh PRN17 bagi negeri Sabah.
Hari penamaan calon ditetapkan pada 15 November, manakala hari mengundi awal pada 25 November 2025.
Tempoh berkempen yang ditetapkan adalah selama 14 hari bermula selepas pengisytiharan calon yang bertanding sehingga jam 11.59 malam 28 November 2025 (Jumaat). – UMNO Online
