ADUN Kedah Perlu Jaga Adab, Jangan Rendahkan Maruah Rakyat Sabah

KUALA LUMPUR, 14 Nov – Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Kedah, Muhamad Jasnizam Muhamad Husni terkilan dengan sikap seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kedah yang telah membuat kenyataan sangat mengejutkan dan menyakitkan hati, khususnya kepada rakyat Sabah.

Menurutnya, kenyataan ini bukan sekadar kesalahan etika politik, tetapi juga satu tindakan yang boleh menjejaskan hubungan antara rakyat Kedah dan rakyat Sabah.

Katanya, sebagai seorang wakil rakyat, ADUN tersebut sepatutnya mengekalkan maruah dan kredibiliti dirinya serta DUN Negeri Kedah, bukannya memburukkan imej institusi politik dan menunjukkan sikap angkuh.

“Rakyat Sabah yang akan mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) hanya boleh ‘digula-gulakan dengan roti Gardenia sahaja’. Ucapan ini bukan sahaja tidak profesional, malah jelas menunjukkan sikap merendahkan dan menghina rakyat Sabah.

“Persepsi ini bukan sahaja salah dan menyakitkan, malah menjejaskan imej Kedah secara keseluruhan. Ia menimbulkan rasa kecewa dan marah di kalangan rakyat Sabah, seolah-olah menganggap bahawa rakyat Sabah mudah dipermainkan, naif, dan boleh dibeli dengan perkara yang remeh-temeh.

“Rakyat Kedah yang mendengar kenyataan ini pasti berasa malu kerana seorang wakil rakyat yang menggunakan forum rasmi untuk menyebarkan pandangan bersifat prejudis dan menghina rakyat negeri lain,” katanya kepada UMNO Online.

Mengulas lanjut kata beliau, ADUN tersebut tidak mewakili suara rakyat Kedah sama sekali tetapi satu penghinaan terhadap kepintaran, kebijaksanaan, dan kematangan politik mereka.

“Sabah adalah negeri yang berdaulat, rakyatnya bijak membuat keputusan, dan mereka mempunyai sejarah politik yang panjang dalam menilai calon dan parti yang bertanding. Menganggap rakyat Sabah sebagai golongan yang mudah digula-gulakan hanyalah satu penghinaan terhadap kepintaran, kebijaksanaan, dan kematangan politik mereka.

“Ucapan sebegini juga menunjukkan betapa ceteknya pemahaman individu tersebut tentang rakyat di luar Kedah, serta kurangnya rasa hormat terhadap hak politik negeri lain,” katanya lagi.

 Jasnizam yang Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Padang Terap, adalah wajar untuk rakyat Sabah dan rakyat Kedah yang prihatin menuntut supaya ADUN tersebut membuat permohonan maaf secara terbuka.

“Permohonan maaf ini bukan sahaja penting untuk memulihkan maruah rakyat Sabah, tetapi juga untuk mengembalikan keyakinan rakyat terhadap institusi politik Kedah dan menghormati hubungan antara negeri-negeri di Malaysia.

“Permohonan maaf yang ikhlas harus dilakukan tanpa syarat dan disiarkan secara terbuka supaya semua pihak dapat melihat pengakuan kesilapan dan kesungguhan untuk memperbaiki keadaan,” ujarnya.

Tambah Jasnizam, tindakan yang memalukan dan tidak wajar itu menunjukkan kekurangan sensitiviti politik, kurangnya pemahaman tentang kepelbagaian rakyat Malaysia, dan sikap merendahkan yang tidak sesuai dengan seorang wakil rakyat.

“Sebagai rakyat yang prihatin, kita harus menuntut agar pemimpin politik bertanggungjawab terhadap setiap kata-kata mereka, kerana ucapan yang tidak bertanggungjawab boleh menjejaskan perpaduan antara negeri dan menimbulkan ketegangan yang tidak sepatutnya berlaku.

“Kepimpinan politik seharusnya menjadi contoh dalam menghormati rakyat dan bukan menjadi sumber penghinaan dan kontroversi. Rakyat Sabah berhak menerima penghormatan dan pengiktirafan, bukan pandangan yang merendahkan dan menghina mereka,” ujarnya lagi. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO