PRN Sabah: Amanah Besar, Galas Dengan Sepenuh Hati – Anil Sandhu

KOTA KINABALU, 13 Nov – Bendahari Pemuda UMNO Sabah, Datuk Seri Dr Anil Sandhu menzahirkan penghargaan kepada seluruh pucuk pimpinan Barisan Nasional (BN) atas kepercayaan yang diberikan untuk mewakili Dewan Undangan Negeri (DUN) Kunak bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17.

Anil yang juga calon DUN Kunak berkata kepercayaan tersebut merupakan satu amanah besar yang akan digalas dengan sebaik-baiknya.

“Terima kasih kepada pucuk pimpinan BN kerana memberi kepercayaan kepada saya. Insya Allah… saya akan berusaha dan lakukan yang terbaik untuk bekerja demi daerah Kunak.

“Saya dengan rendah diri memohon sokongan daripada semua masyarakat Kunak untuk bina balik dan bersama-sama dengan saya untuk membangunkan Kunak ke arah yang lebih maju dan baik.

“Inilah masa kita untuk bekerja dengan lebih lagi untuk memperoleh kemenangan. Bersama-sama dengan saya demi satu tujuan dari rakyat untuk rakyat,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Dalam masa yang sama, Anil juga Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Lahad Datu turut menzahirkan permohonan maaf kepada seluruh masyarakat atas sebarang kekhilafan yang mungkin berlaku sepanjang perjuangan politiknya.

“Saya dengan rendah diri mohon maaf andai terlanjur kata dan tindakan. Mohon sokongan daripada anda semua,” ujarnya.

Terdahulu, Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) menetapkan 29 November 2025 ini sebagai tarikh PRN ke- 17 bagi negeri Sabah. Hari penamaan calon ditetapkan pada 15 November, manakala hari mengundi awal pada 25 November 2025.

Tempoh berkempen yang ditetapkan adalah selama 14 hari bermula selepas pengisytiharan calon yang bertanding sehingga jam 11.59 malam 28 November 2025 (Jumaat).

PRN Sabah diadakan bagi mengisi kekosongan sebanyak 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO