Jentera BN Lamag Siap Siaga Hadapi PRN

LAMAG, 13 Nov – Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin menegaskan bahawa jentera Barisan Nasional (BN) khususnya di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag kini berada pada tahap kesiapsiagaan maksimum menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17.

Beliau berkata, semangat serta komitmen jentera BN di peringkat akar umbi yang terus bekerja keras menjadi bukti bahawa parti itu bersedia sepenuhnya untuk menawan kembali kepercayaan rakyat.

“Saya melihat peluang BN untuk memenangi PRN Sabah kali ini amat tinggi sekiranya segala perancangan yang telah dibuat sejak beberapa tahun lalu dapat diterjemahkan pada hari pembuangan undi 29 November ini,” katanya menerusi perkongsian di Facebook.

Menurut beliau, jentera BN di Lamag telah digerakkan secara menyeluruh melibatkan pelbagai peringkat termasuk wanita, pemuda dan puteri bagi memastikan segala strategi kempen berjalan lancar serta tersusun.

“Jangan kita sia-siakan peluang keemasan ini. Jentera BN mesti kekal fokus, berdisiplin dan bersatu. Kekuatan kita terletak pada kesepaduan dan kerja kuat semua peringkat,” tegasnya.

Bung Moktar yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan turut menzahirkan keyakinan bahawa rakyat semakin menilai prestasi pentadbiran kerajaan negeri sedia ada, yang menurutnya berdepan pelbagai isu dan persepsi negatif.

“GRS sudah terdedah dengan pelbagai skandal, manakala Warisan pula terlalu banyak berbicara tetapi sarat dengan kesilapan. Rakyat sudah boleh menilai siapa yang benar-benar bekerja untuk mereka,” katanya.

Beliau dalam masa sama menyeru jentera BN agar terus berjuang tanpa mengenal penat demi masa depan rakyat Sabah.

“Pejuang-pejuang BN mesti terus berjuang demi rakyat, demi Sabah. Membujur lalu, melintang patah, namun mundur tidak sekali. Sekali berjuang, terus berjuang hingga mencapai kemenangan,” katanya penuh semangat. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO