Calon Wanita BN PRN Sabah, Cerminkan Keyakinan Tinggi Kepimpinan Parti – Noraini

KUALA LUMPUR, 13 Nov – Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad, menyifatkan keputusan Barisan Nasional (BN) menampilkan tiga calon wanita UMNO dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 sebagai bukti keyakinan tinggi kepimpinan parti terhadap keupayaan dan peranan wanita dalam memperkukuh kedudukan BN sebagai wadah perjuangan rakyat.

Menurutnya, langkah itu bukan sahaja mengiktiraf sumbangan wanita dalam politik dan masyarakat, tetapi juga memperkukuh komitmen BN terhadap prinsip keterangkuman dan kepimpinan seimbang antara gender.

“Keputusan ini mencerminkan keyakinan tinggi kepimpinan parti terhadap keupayaan dan peranan wanita dalam memperkukuh kedudukan Barisan Nasional sebagai wadah perjuangan rakyat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.


Noraini turut merakamkan penghargaan kepada Presiden UMNO merangkap Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi atas kepercayaan dan peluang yang diberikan kepada tiga calon wanita UMNO di Sabah.

Beliau menegaskan, Wanita UMNO Malaysia bersama Wanita UMNO Sabah akan melaksanakan amanah itu dengan penuh dedikasi, kesetiaan dan semangat juang yang tinggi bagi memastikan kemenangan calon-calon BN serta mengembalikan keyakinan rakyat terhadap kepimpinan parti di negeri itu.

“Wanita UMNO akan terus berdiri teguh di belakang kepimpinan parti demi kesinambungan perjuangan untuk agama, bangsa dan negara,” tambahnya lagi.

Dalam PRN Sabah ini, BN menamakan Ketua Wanita UMNO Bahagian Kudat Normalah Rasick sebagai calon di Dewan Undangan Negeri (DUN) Banggi; Ketua Wanita UMNO Bahagian Tenom Datuk Rahmahjan Sulaiman Khan (DUN Kemabong); dan Ketua Wanita UMNO Bahagian Kalabakan Chaya Sulaiman di DUN Kukusan.

Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) menetapkan 29 November 2025 ini sebagai tarikh PRN17 bagi negeri Sabah.
Hari penamaan calon ditetapkan pada 15 November, manakala hari mengundi awal pada 25 November 2025.

Tempoh berkempen yang ditetapkan adalah selama 14 hari bermula selepas pengisytiharan calon yang bertanding sehingga jam 11.59 malam 28 November 2025 (Jumaat). – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO