Pengiktirafan Penting Terhadap Hak 40% Sabah
MERUJUK kepada kenyataan media Jabatan Peguam Negara pada 11 November 2025, Kerajaan Persekutuan mengesahkan bahawa hak 40% Pemberian Khas Sabah tidak akan dirayu. Ini satu pengiktirafan penting terhadap kedudukan Sabah dalam Perlembagaan.
2. Kenyataan tersebut turut memaklumkan bahawa rundingan rasmi antara Sabah dan Persekutuan akan dimulakan segera, selaras dengan semangat MA63 dan peruntukan Perkara 112C.

3. Pada masa yang sama, Kerajaan Persekutuan akan memfailkan rayuan terhad (partial appeal) terhadap beberapa dapatan teknikal dalam alasan penghakiman, khususnya perkara yang melibatkan dakwaan penyalahgunaan kuasa dan ketidakaturan prosedur sejak 1974. Rayuan ini tidak melibatkan hak 40%, tetapi bertujuan memperjelas rekod perundangan.
4. Dengan perkembangan ini, Sabah memasuki fasa rundingan dalam kedudukan yang lebih jelas dan teratur, berlandaskan asas undang-undang yang telah disahkan oleh mahkamah.
5. Keutamaan kini adalah rundingan yang profesional, telus dan berpaksikan kepentingan rakyat Sabah, agar hasilnya benar-benar memberi manfaat jangka panjang kepada negeri dan generasi akan datang.
Salleh Said Keruak
Bendahari UMNO
