Hak 40 Peratus Hasil Sabah Hak Perlembagaan Yang Tidak Boleh Dirunding – Bung Moktar

KOTA KINABALU, 12 Nov – Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin menegaskan bahawa hak 40 peratus hasil Sabah seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan bukan ihsan politik, sebaliknya merupakan kewajipan perlembagaan yang mesti dikembalikan tanpa sebarang rundingan atau kelewatan.

Beliau berkata, keputusan Kerajaan Persekutuan untuk tidak memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu serta memulakan rundingan segera merupakan pengesahan jelas bahawa hak tersebut adalah satu prinsip undang-undang asas yang telah lama dinafikan kepada rakyat Sabah.

“Hak 40 peratus hasil Sabah bukan ihsan politik. Ia adalah komitmen perlembagaan yang telah lama gagal dipenuhi. Kelewatan selama puluhan tahun ini mencemar prinsip federalisme yang menjadi asas hubungan antara Sabah dan Persekutuan,” katanya dalam satu kenyataan berkaitan hal ini.

Menurut beliau, peruntukan tersebut telah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan sejak pembentukan Malaysia pada tahun 1963 dan sebarang kelemahan pentadbiran sejak tahun 1974 tidak boleh dijadikan alasan untuk menafikan hak negeri itu.

“Dalam mana-mana bidang kuasa undang-undang moden, hak perlembagaan tidak boleh ditangguhkan, dikurangkan atau diabaikan tanpa alasan yang benar-benar kukuh dan berkadar,” tegasnya.

Bung Moktar turut menekankan bahawa rundingan antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri selepas ini perlu dijalankan dengan telus, berasaskan data kewangan sebenar serta bebas daripada manipulasi politik.

“Sabah tidak lagi akan menerima rundingan tanpa hasil. Hak perlembagaan bukan bahan tawar-menawar, ia mesti dipenuhi tepat seperti yang diperuntukkan,” ujarnya.

Beliau berkata, BN Sabah akan memantau setiap peringkat proses rundingan bagi memastikan hak rakyat negeri ini dikembalikan sepenuhnya.

“Tanggungjawab Kerajaan Persekutuan jelas dan tidak boleh dialihkan. Kembalikan hak Sabah tanpa sebarang kelewatan. Ini bukan gimik politik, ini tuntutan keadilan perlembagaan,” katanya.

Bung Moktar menegaskan, BN Sabah berpendirian tegas bahawa 40 peratus hasil tersebut adalah hak mutlak Sabah sebagaimana yang dijamin oleh Perlembagaan Malaysia. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO