Bukan Kawasan Mudah… ‘Duktur Kita’ Tekad Goncang ‘Status Quo’ Kerusi DUN Sulaman

KOTA KINABALU, 12 Nov – Calon Barisan Nasional (BN) di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sulaman Dr Shahnon Rizal Thaijudin, 32, mengambil maklum untuk merampas kerusi tersebut bukan sesuatu yang mudah.

Untuk rekod, penyandang kerusi tersebut sejak tahun 1990 adalah Ketua Menteri Sabah Ke-16 Datuk Seri Hajiji Noor daripada Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan dijangka akan mempertahankannya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah Ke-17 ini.

“Saya di sini bukan sekadar calon tetapi sebagai sebahagian daripada gerakan orang muda. Gerakan yang percaya bahawa masa depan mesti digerakkan oleh keberanian dan juga harapan.

“Saya tahu (DUN) Sulaman ini bukan kawasan yang mudah tetapi sebab itulah saya memilih untuk bertanding di sini kerana Sulaman ini adalah tempat yang terbaik untuk menggoncangkan ‘status quo’ untuk buktikan bahawa rakyat jikalau bersatu boleh mencipta perubahan,” katanya dalam satu video yang disiarkan di laman sosialnya.

Jelas doktor perubatan yang mendapat pendidikan dari Rusia di Kursk State Medical University itu, sebagai anak muda beliau mahu memberi khidmat dengan semangat yang baharu bagi kawasan DUN tersebut.

“Kita tidak menolak yang lama, kita menyambung perjuangan mereka dengan semangat yang baru. Kita hormati jasa mereka dan kita bangkit untuk meneruskan perjuangan itu dengan tenaga orang muda.

“Saya ini bukannya datang dengan janji yang besar tetapi datang dengan hati yang mahu berkhidmat.

“Kamu yang selalu panggil saya doktor muda dan ‘duktur kita’ dan saya percaya perubahan sebenar bermula daripada hati yang Ikhlas dari hati rakyat yang berani untuk bermimpi. Inilah masa kita, inilah kebangkitan orang muda,” kata Dr Shahnon yang juga Ketua Penerangan Pemuda UMNO Bahagian Tuaran.

Dalam bidang kemasyarakatan Dr Shahnon sering menganjurkan klinik bergerak percuma, program pemeriksaan kesihatan percuma, program khatan percuma di kawasan Tuaran serta program ceramah dan motivasi kerjaya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 29 Nov ini sebagai hari pengundian bagi PRN Sabah manakala hari penamaan calon pula adalah pada 15 Nov manakala pengundian awal pada 25 Nov.

Tempoh berkempen yang ditetapkan adalah selama 14 hari bermula selepas pengisytiharan calon yang bertanding sehingga jam 11.59 malam 28 Nov 2025 (Jumaat).

PRN Sabah diadakan bagi mengisi kekosongan sebanyak 73 kerusi DUN Sabah dan pada Ahad lalu, Pengerusi BN Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin mengumumkan BN akan bertanding di 41 kerusi DUN. – UMNO ONLINE

Jom kenali dan ikuti aktiviti calon Barisan Nasional DUN Sulaman ini di media sosialnya seperti berikut:

Facebook: Dr Shahnon Thaijudin, Duktur Kita
Instagram: Shahnon Thaijudin
Tiktok: Shahnon Thaijudin

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO