BN Sabah Umum Penambahan Calon PRN Ke-17

KOTA KINABALU, 12 Nov – Barisan Nasional (BN) Sabah hari ini mengumumkan penambahan beberapa calon bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Negeri (PRN) Sabah ke-17, bertujuan memperkukuh barisan kepimpinan serta kesiapsiagaan parti.

Pengumuman itu dibuat oleh Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin, susulan pengumuman calon pada Ahad lalu dan setelah meneliti perkembangan mutakhir serta rundingan yang telah diperhalusi.

Menurut beliau, penambahan calon ini selaras dengan aspirasi BN untuk memastikan representasi yang lebih menyeluruh, berimbang dan strategik, sejajar dengan keperluan rakyat serta dinamika politik negeri.
Senarai kerusi tambahan dan calon:

1. N.06 Bandau – Willey Lampaki
2. N.43 Kemabong – Rahmah Jan Binti Sulaiman
3. N.54 Karamunting – Dato’ Chin Kim Hiung
4. N.70 Kukusan – Chaya Binti Sulaiman

“Penambahan ini mencerminkan komitmen berterusan BN Sabah untuk memastikan setiap komuniti, khususnya di kawasan pilihan, menerima pembelaan serta khidmat terbaik daripada calon-calon yang berwibawa dan bersedia menggalas amanah rakyat,” kata Bung Moktar dalam satu kenyataan media hari ini.

Beliau turut menekankan bahawa seluruh jentera parti di semua peringkat perlu menggiatkan persiapan dan melaksanakan gerak kerja secara tersusun, inklusif dan berfokus demi memastikan kemenangan dan mandat rakyat kembali kepada BN.

Bung Moktar menegaskan, barisan calon yang diketengahkan akan membawa penawaran kepimpinan lebih segar dan menyeluruh, bukan sahaja untuk memperkukuh kestabilan, tetapi juga untuk mengangkat Sabah ke arah pembangunan yang lebih inklusif.

“Semoga seluruh jentera dan calon diberikan kekuatan, keberanian dan kejayaan pada PRN kali ini,” tambah beliau lagi. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO