Sabah Perlu Kerajaan Stabil, Bukan Medan Percubaan Politik – Erwan Palette
KOTA KINABALU, 11 Nov – Sabah memerlukan sebuah kerajaan yang benar-benar stabil dan bukan lagi medan percubaan politik, tegas Naib Ketua UMNO Bahagian Tawau, Erwan Palette.
Jelasnya, rakyat Sabah sendiri telah melihat bahawa hanya Barisan Nasional (BN) yang berjaya membawa pembangunan menyeluruh, membuka peluang pekerjaan dan menjamin kemakmuran untuk semua lapisan masyarakat.
“’Bikin Balik Sabah’ bukan sekadar slogan tetapi ia satu seruan untuk mengembalikan zaman kestabilan, perpaduan dan kemajuan yang pernah dikecapi di bawah Barisan Nasional (BN).
“Ini masa untuk bangkit semula bersama BN. Demi kemajuan Sabah dan kesejahteraan rakyat. Kejayaan dasar BN dapat dilihat jelas di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Balung, termasuk pembangunan infrastruktur seperti jalan raya, penyediaan kemudahan awam, peluang keusahawanan serta peningkatan akses pendidikan untuk anak muda.
“Semua ini lahir daripada dasar BN yang konsisten dan berpaksikan rakyat membuktikan parti ini kekal menjadi pilihan utama dan mampu mengangkat suara serta kepentingan rakyat,” katanya kepada UMNO Online.
Seterusnya kata Erwan lagi, semangat baharu dalam pasukan ini akan terus diterjemahkan berpaksikan rekod prestasi BN.
“Kini masa untuk kita teruskan legasi itu, dengan semangat baharu dan pasukan yang segar, bersedia membawa suara rakyat Sabah ke hadapan dengan kombinasi calon baharu dan rekod prestasi yang kukuh.
“BN percaya bahawa tenaga dan idea segar calon-calon ini akan membolehkan parti lebih responsif terhadap keperluan rakyat serta memastikan kestabilan politik dan kemakmuran rakyat Sabah terus terpelihara,” katanya lagi.
Ujarnya, dengan gabungan rekod prestasi yang terbukti dan tenaga baharu, BN dapat memastikan pembangunan berterusan serta kestabilan politik negeri tetap terpelihara.
Terdahulu, Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) menetapkan 29 November 2025 ini sebagai tarikh PRN ke- 17 bagi negeri Sabah. Hari penamaan calon ditetapkan pada 15 November, manakala hari mengundi awal pada 25 November 2025.
Tempoh berkempen yang ditetapkan adalah selama 14 hari bermula selepas pengisytiharan calon yang bertanding sehingga jam 11.59 malam 28 November 2025 (Jumaat).
PRN Sabah diadakan bagi mengisi kekosongan sebanyak 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah. – UMNO Online
