PRN Sabah: Hargai Mandat Teruskan Agenda BN
KOTA KINABALU, 11 Nov – Paluan gendang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 sudah bergema apabila tarikh penamaan calon merebut 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi membentuk kerajaan negeri ditetapkan pada 29 Nov ini.
Barisan Nasional (BN) sudah mengenal pasti calon-calon yang mewakili parti ini dan menyempurnakan pengumumannya bagi penamaan calon pada 15 November nanti, iaitu masa bermulanya kempen.
Ketua UMNO Bahagian Lahad Datu, Sharif Musa Sharif Mabul yang dinamakan sebagai calon BN DUN N.62 Silam menegaskan bahawa rakyat berhak menikmati pembangunan yang teratur serta persekitaran yang bersih.
“Kita rakyat wajib merasakan kemajuan dan kebersihan bandar kita. Mereka (pihak lawan) tidak bikin. Insya Allah… Kita ‘Bikin Balik Silam’.
“Apa yang penting, biar pun disanggah secara terbuka, niat kita satu iaitu wajib ‘Maju dan Indah Tanpa Sampah’.
“Terdapat skru-skru yang wajib diperketatkan. Longkang-longkang yang tersumbat mesti dibersihkan dari sampah-sarap, banyak tanah-tanah yang wajib dibangunkan, termasuk jalan-jalan wajib dibesarkan,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.
Sementara itu bagi Bendahari Pemuda UMNO Sabah, Datuk Seri Dr Anil Sandhu yang dinamakan calon BN bagi DUN Kunak juga menzahirkan kesyukuran dan akan melakukan sebaik-baiknya demi rakyat.
“Alhamdullilah syukur ke hadrat ilahi, dengan izin-Nya saya terpilih sebagi calon BN bagi DUN N63 Kunak. InsyaAllah… saya akan buat sehabis baiknya untuk orang kampung di DUN ini. Sama-sama kita berjuang dengan penuh jujur dan amanah, semoga Allah redha segala perbuatan kita.
“InsyaAllah… kami akan kembalikan BN untuk memimpin semula daerah Kunak dan seterusnya kerajaan negeri Sabah,” jelasnya.
Terdahulu, majlis pelancaran jentera BN Sabah telah diadakan baru-baru ini dan dirasmikan oleh Pengerusi BN Malaysia, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Pelancaran Jentera BN itu menjadi simbol kebangkitan dan kekuatan semangat jentera menjelang tirai rasmi PRN Sabah yang bakal bermula dengan penamaan calon pada Sabtu ini.
Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) menetapkan 29 November 2025 ini sebagai tarikh PRN17 bagi negeri Sabah.
Hari penamaan calon ditetapkan pada 15 November, manakala hari mengundi awal pada 25 November 2025.
Tempoh berkempen yang ditetapkan adalah selama 14 hari bermula selepas pengisytiharan calon yang bertanding sehingga jam 11.59 malam 28 November 2025 (Jumaat). – UMNO Online
