Wan Rosdy Ucap Tahniah, Seru Jentera BN Sabah Mantapkan Persiapan Hadapi PRN
KOTA KINABALU, 10 Nov – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, mengucapkan tahniah kepada calon-calon Barisan Nasional (BN) yang telah diumumkan untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang dijadual berlangsung pada 29 November ini.
Beliau berharap semua calon dapat memberikan komitmen dan khidmat terbaik kepada rakyat, khususnya dalam memastikan BN terus menjadi wadah perjuangan yang membawa kestabilan dan kemakmuran kepada negeri Sabah.

Wan Rosdy berkata demikian menerusi hantaran di laman Facebooknya selepas beliau bersama dalam Majlis Pelancaran Jentera Barisan Nasional (BN) Sabah yang berlangsung di Kota Kinabalu, semalam.
“Semoga pelancaran jentera ini menjadi pemangkin kepada semangat perjuangan yang utuh, kesepaduan antara semua jentera parti, dan keyakinan rakyat terhadap BN untuk terus membawa kestabilan, kemakmuran serta pembangunan yang inklusif di bumi Sabah,” katanya.
Beliau menambah, dengan iltizam serta semangat kerja berpasukan yang padu, BN Sabah mampu mara menuju kemenangan yang meyakinkan demi kesejahteraan rakyat dan kemajuan negeri.
“Insya-Allah, dengan kerja berpasukan dan kesungguhan semua pihak, BN Sabah akan terus melangkah gagah ke arah kemenangan,” ujarnya lagi.
Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) menetapkan 29 November 2025 ini sebagai tarikh PRN17 bagi negeri Sabah.
Hari penamaan calon ditetapkan pada 15 November, manakala hari mengundi awal pada 25 November 2025.
Tempoh berkempen yang ditetapkan adalah selama 14 hari bermula selepas pengisytiharan calon yang bertanding sehingga jam 11.59 malam 28 November 2025 (Jumaat).
PRN Sabah diadakan bagi mengisi kekosongan sebanyak 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah. – UMNO Online
