Politik Bukan Sekadar Kemenangan, Tetapi Tanggungjawab dan Khidmat – Salleh Said Keruak
KOTA BELUD, 10 Nov – “Perjuangan politik bukan sekadar tentang kemenangan, tetapi tentang tanggungjawab dan kesinambungan khidmat.”
Demikian penegasan Bendahari UMNO Sabah, Datuk Seri Salleh Said Keruak yang sekali lagi menerima amanah untuk bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Usukan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang dijadualkan berlangsung pada 29 November ini.
Salleh yang juga bekas Ketua Menteri Sabah menzahirkan rasa syukur dan penghargaan kepada Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi serta Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin atas kepercayaan yang diberikan untuk terus mewakili BN di kawasan yang menjadi akar perjuangannya.

“Alhamdulillah, dengan penuh rasa syukur dan tanggungjawab, saya menerima amanah ini dengan hati terbuka serta tekad untuk terus berbakti kepada masyarakat yang saya kasihi di Usukan,” katanya.
Menurut Salleh, perjuangan politik yang sebenar tidak terhenti selepas pilihan raya, sebaliknya ia menuntut keikhlasan, kesungguhan dan kerjasama berterusan dalam memastikan kesejahteraan rakyat.
“Apa yang telah dimulakan perlu diteruskan. Pembangunan yang berterusan memerlukan keikhlasan dan kesungguhan semua pihak. Inilah erti sebenar tanggungjawab dalam perjuangan politik,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa politik perlu berasaskan hormat dan keikhlasan, bukannya permusuhan atau serangan peribadi.
“Saya akan berkempen secara gentlemen — dengan hujah, idea dan rekod khidmat. Kita bertanding untuk berkhidmat, bukan untuk bermusuh,” ujarnya.
Salleh turut menyeru masyarakat Usukan untuk terus bersama beliau dalam meneruskan perjalanan membangunkan kawasan itu demi masa depan generasi akan datang.
“Dengan semangat muafakat dan kasih kepada tanah air, marilah kita membangun dan memperkukuh Usukan bersama-sama,” tambahnya. – UMNO Online
