BN Tampil Ramai Calon Muda, Bung Moktar Ajak Belia Sabah Sokong Perubahan

KOTA KINABALU, 10 Nov – Barisan Nasional (BN) Sabah menampilkan ramai calon muda dan muka baharu pada pilihan raya kali ini sebagai langkah berani membawa perubahan serta memastikan suara generasi belia terus diberi tempat dalam arena politik negeri.

Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin, berkata mesej utama parti kepada golongan belia adalah supaya mereka melihat masa depan Sabah dengan lebih optimis dan percaya bahawa perubahan mampu direalisasikan melalui kepimpinan baharu.

“Saya punya mesej konsisten, supaya belia-belia melihat masa depan Sabah lebih baik daripada hari ini. Barisan Nasional melalui calon-calon anak muda kita bersedia merubah untung nasib rakyat Sabah demi negeri Sabah,” katanya.

Bung Moktar menegaskan BN berani menampilkan calon muda kerana yakin mereka mampu membawa idea segar serta mendekati rakyat dengan pendekatan baharu yang lebih dinamik.

“Ini menunjukkan bahawa BN berani membuat perubahan. Kita tidak mempertaruhkan masa depan anak muda dengan sesuatu yang mereka tidak boleh terima. Walaupun mereka belum berpengalaman, BN bersedia memberi ruang dan peluang kerana kita mahu perubahan,” katanya lagi.

Menurut beliau, parti memberi platform kepada calon muda bukan sekadar untuk bertanding, tetapi juga untuk memainkan peranan sebagai pembuat dasar yang akan menentukan hala tuju pembangunan negeri.

“Kita bagi mereka peluang dan platform untuk bertanding. Selepas itu, mereka boleh memainkan peranan sebagai wakil rakyat untuk membuat dasar, khususnya dalam merangka fokus pembangunan negeri,” jelasnya.

Dalam masa yang sama, Bung Moktar yang juga Ketua UMNO Sabah turut menegaskan komitmen BN untuk terus memperbetulkan keadaan ekonomi dan sosial di Sabah, termasuk usaha mengeluarkan negeri itu daripada belenggu kemiskinan.

 

“Kita telah bersedia menggalas amanah merubah untung nasib rakyat Sabah, memperbetulkan keadaan yang tidak baik pada hari ini dan Insya-Allah dalam dua atau tiga tahun, kita akan keluarkan Sabah termasuk lapan daerah daripada kemiskinan,” katanya dalam siding media semalam.

Semalam BN menampilkan 80 peratus calon baharu dalam PRN Sabah ke-17 sebagai iltizam parti membawa pembaharuan lebih progresif dan responsif kepada negeri itu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 29 Nov ini sebagai hari pengundian manakala hari penamaan calon pula adalah pada 15 Nov manakala pengundian awal pada 25 Nov.

Tempoh berkempen yang ditetapkan adalah selama 14 hari bermula selepas pengisytiharan calon yang bertanding sehingga jam 11.59 malam 28 Nov 2025 (Jumaat).

PRN Sabah diadakan bagi mengisi kekosongan sebanyak 73 kerusi DUN Sabah. – UMNO ONLINE

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO