Ab Rauf Seru ‘Bikin Balik Sabah’, BN Terbukti Bawa Kestabilan, Kemakmuran Dan Pembangunan Menyeluruh
KOTA KINABALU, 10 Nov – Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, menegaskan bahawa Barisan Nasional (BN) telah terbukti bukan sekadar dengan janji, tetapi dengan rekod pentadbiran yang membawa kestabilan, kemakmuran dan pembangunan menyeluruh kepada rakyat.
Beliau berkata, kini masa untuk BN meneruskan legasi itu dengan semangat baharu dan pasukan yang segar melibatkan 80 peratus calon muka baharu yang bersedia membawa suara rakyat Sabah ke hadapan.

Ab Rauf yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, berkata demikian selepas menghadiri Pelancaran Jentera BN Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang diadakan di Kota Kinabalu semalam.
Majlis pelancaran jentera itu disempurnakan oleh Pengerusi BN merangkap Presiden UMNO Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi,
Pelancaran yang penuh semangat itu turut menyaksikan seluruh kekuatan parti bergabung di bawah satu slogan, ‘Bikin Balik Sabah’, sebagai tanda iltizam BN untuk mengembalikan keyakinan rakyat terhadap parti keramat itu.
Ab Rauf menegaskan bahawa BN telah membuktikan keupayaan mentadbir dengan rekod cemerlang yang membawa kestabilan, kemakmuran dan pembangunan kepada rakyat, sekali gus menjadi asas kukuh untuk parti itu terus mara ke hadapan dengan semangat dan iltizam baharu.
“BN telah terbukti, bukan sekadar janji, tetapi dengan rekod pentadbiran yang membawa kestabilan, kemakmuran dan pembangunan menyeluruh kepada rakyat.
“Kini masa untuk kita teruskan legasi itu, dengan semangat baharu dan pasukan yang segar dengan 80 peratus calon muka baharu bersedia membawa suara rakyat Sabah ke hadapan,” katanya.
Beliau percaya, dengan iltizam, kesepaduan dan kerja berpasukan yang tersusun, BN Sabah akan terus mara menuju kemenangan meyakinkan, sekali gus memacu negeri itu menjadi negeri yang lebih maju dan makmur.
Hadir sama dalam program tersebut ialah Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan; Naib Pengerusi BN merangkap Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong; Naib Pengerusi BN merangkap Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Datuk Arthur Joseph Kurup; Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Zambry Abd Kadir; Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin serta kepimpinan tempatan. – UMNO Online
