Semangat Jentera BN Membara, Isyarat Kesiapsiagaan Hadapi PRN Sabah
KOTA KINABALU, 9 Nov — Semangat luar biasa lebih 5,000 jentera dan penyokong Barisan Nasional (BN) membanjiri Grand Ballroom Sutera Harbour dan kawasan sekitar petang ini, menandakan kesiapsiagaan penuh parti itu menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17.
Suasana penuh bersemangat dengan lautan bendera biru BN berkibar di segenap penjuru, diselangi laungan ‘war cry’ “Radu Tatap Radu, Radu Sampai Menang” yang bergema menggambarkan tekad jentera untuk memastikan kemenangan parti berkenaan di bumi Sabah.
Kehadiran pimpinan utama termasuk Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, dan Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin serta pimpinan yang lain menyuntik motivasi kepada jentera untuk terus bekerja kuat pada PRN Sabah Ke-17.
Majlis pelancaran itu menjadi simbol kebangkitan dan kekuatan semangat jentera BN menjelang tirai rasmi PRN Sabah yang bakal bermula dengan penamaan calon pada Sabtu ini.
Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) menetapkan 29 November 2025 ini sebagai tarikh PRN17 bagi negeri Sabah.
Hari penamaan calon ditetapkan pada 15 November, manakala hari mengundi awal pada 25 November 2025.
Tempoh berkempen yang ditetapkan adalah selama 14 hari bermula selepas pengisytiharan calon yang bertanding sehingga jam 11.59 malam 28 November 2025 (Jumaat).
PRN Sabah diadakan bagi mengisi kekosongan sebanyak 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah. – UMNO Online
