Pembahagian Kerusi Dimuktamadkan, Pertahan Kestabilan – Dr Zambry

KOTA KINABALU, 9 Nov – Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Zambry Abdul Kadir memaklumkan bahawa BN telah meneliti dan memuktamadkan persiapan akhir menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17.

Menurutnya, pimpinan BN turut membincangkan aspek kerjasama bersama Pakatan Harapan (PH), khususnya berkaitan pembahagian kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah yang kini telah dimuktamadkan.

“BN telah membincang persiapan terakhir bagi menghadapi PRN Sabah ke-17. Pimpinan turut membincangkan kerjasama yang telah pun diputuskan oleh BN dan PH terutamanya kerusi-kerusi DUN Sabah telah dimuktamadkan sehingga kini.

“BN turut membincangkan tentang prinsip kebebasan nasional ketika berada dalam pilihan raya kali ini iaitu untuk terus memperjuangkan kepentingan rakyat Sabah dan negara serta memelihara kestabilan dan pembangunan yang selama ini diperjuangkan.

“Tradisi itu BN akan teruskan dan paling mustahak adalah kestabilan itu perlu dipelihara dan dipertahankan,” katanya kepada media semalam. 

Mengulas lanjut, Zambry yang juga Menteri Pendidikan Tinggi berkata, BN akan mengadakan pelancaran jentera bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh penamaan calon PRN Sabah pada 15 November, manakala tarikh pengundian awal dan hari pengundian masing-masing pada 25 dan 29 November.

Pada 6 Oktober lepas, Ketua Menteri Sabah mengumumkan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi memberikan laluan kepada PRN Sabah ke-17.

DUN Sabah mempunyai 79 kerusi dengan 73 daripadanya dipertandingkan manakala enam lagi merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang dilantik. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO