Media Sosial Medan Utama Kempen PRN Sabah – Azalina

KOTA KINABALU, 8 Nov — Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah kali ini berbeza daripada sebelumnya memandangkan UMNO/Barisan Nasional (BN)  kini berada dalam Kerajaan Perpaduan.

Beliau berkata demikian ketika sesi taklimat bersama petugas parti di Bangunan UMNO Sabah, di sini hari ini.

“PRN kali ini bertemakan media sosial, sebab itu pendekatan kita tidak lagi seperti sebelum ini. UMNO dan BN sebuah parti yang berdisiplin serta mempunyai kekuatan jentera di pelbagai peringkat, yang memberi sedikit kelebihan kepada kita,” katanya.

Menurut Azalina, kelebihan juga berpihak kepada parti apabila Presiden UMNO yang juga Timbalan Perdana Menteri memegang portfolio Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah dapat memainkan peranan penting dalam membantu rakyat di peringkat akar umbi.

“Banyak parti akan bertanding di Sabah. Justeru, kita mesti melaksanakan gerakan secara tersusun dan memberi tumpuan kepada calon sendiri,” katanya.

Beliau turut mengingatkan semua petugas agar memanfaatkan sepenuhnya platform media sosial bagi menyebarkan maklumat tepat, selain mengekalkan etika dan berhemah dalam setiap bentuk komunikasi agar imej parti terus terpelihara.

Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) menetapkan 29 November 2025 ini sebagai tarikh PRN17 bagi negeri Sabah.

Hari penamaan calon ditetapkan pada 15 November, manakala hari mengundi awal pada 25 November 2025.

Tempoh berkempen yang ditetapkan adalah selama 14 hari bermula selepas pengisytiharan calon yang bertanding sehingga jam 11.59 malam 28 November 2025 (Jumaat).

PRN Sabah diadakan bagi mengisi kekosongan sebanyak 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO