BN Sabah Perkenal AI Chatbot, Cara Baharu Mengenali Calon & Melawan Berita Palsu

KOTA KINABALU, 8 Nov – Barisan Nasional (BN) Sabah hari ini memperkenalkan AI Chatbot BN Sabah, satu inisiatif teknologi baharu bagi memperkenalkan calon-calon BN menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-17.

Pelancaran ini disempurnakan oleh Pengerusi Barisan Nasional Malaysia, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, sebagai satu langkah strategik BN untuk mendekati pengundi muda serta memodenkan cara komunikasi parti dalam era digital.

AI Chatbot BN Sabah berfungsi sebagai platform interaktif yang membolehkan rakyat khususnya golongan muda dan pengundi baharu mengenali calon-calon BN dengan lebih dekat, memahami latar belakang mereka, serta mengikuti aktiviti kempen dan dasar perjuangan BN di seluruh Sabah.

Selain memperkenalkan calon, inisiatif ini juga menjadi usaha BN Sabah dalam menangani penularan berita palsu (fake news) yang semakin berleluasa di media sosial menjelang pilihan raya. Chatbot ini akan menyalurkan maklumat sahih dan rasmi secara terus kepada rakyat, sekali gus memastikan setiap maklumat yang diterima adalah tepat dan berfakta.

Platform AI Chatbot ini boleh diakses melalui dua saluran utama:

1. www.prnsabah.com
2. Facebook: BNComm Sabah

Chatbot ini menggunakan sistem kecerdasan buatan (AI) sepenuhnya yang mampu menjawab pelbagai soalan berkaitan calon, manifesto, jadual kempen, serta pencapaian Barisan Nasional di Sabah. Direka secara mesra pengguna dan interaktif, ia memberi peluang kepada rakyat, terutamanya anak muda yang mungkin belum mengenali calon secara dekat, untuk berinteraksi terus dengan maklumat rasmi parti.

Datuk Seri Zahid Hamidi menegaskan bahawa langkah ini mencerminkan kesungguhan BN untuk beradaptasi dengan perubahan zaman dan kehendak generasi baharu, serta membuktikan bahawa BN bukan sekadar parti bersejarah, tetapi parti yang terus bergerak seiring kemajuan teknologi dan aspirasi rakyat.

AI Chatbot BN Sabah akan beroperasi sepenuhnya mulai 12 November 2025, bertepatan dengan fasa kempen utama menjelang PRN ke-17. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO