Markas Anak Muda BN PDM Tenambak Simbol Semangat Juang Generasi Baharu
KUALA PENYU, 7 Nov – Penubuhan Markas Anak Muda Barisan Nasional (BN) bagi PDM Tenambak menjadi bukti nyata semangat dan kekuatan generasi muda dalam memperkukuhkan perjuangan parti di peringkat akar umbi.
Pelancaran markas tersebut telah disempurnakan oleh Pengerusi BN Beaufort merangkap Penyelaras BN Dun N.33 Kuala Penyu, Datuk Awang Aslee Lakat, dalam satu majlis yang berlangsung penuh semangat di Kg. Tempurong, Kuala Penyu, baru-baru ini.

Menurut Awang Aslee yang juga Ketua UMNO Bahagian Beaufort, penubuhan markas anak muda ini menjadi platform penting bagi memperkasa peranan generasi muda dalam meneruskan agenda perjuangan BN, selain membentuk semangat juang dan kebersamaan dalam kalangan mereka.
“Penubuhan markas anak muda BN ini menjadi simbol semangat, kekuatan dan kebersamaan generasi muda dalam memahami kehendak mereka.
“Markas ini bukan sekadar tempat untuk berhimpun, tetapi menjadi medan membina semangat, mencambah idea serta mengukuhkan kekuatan anak muda dalam memastikan kesinambungan perjuangan BN terus subur di peringkat akar umbi,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa anak muda merupakan nadi penting parti dan perlu diberi ruang serta peluang untuk bersama-sama mengemudi perjuangan BN pada masa hadapan.
Awang Aslee turut merakamkan penghargaan kepada jentera Pemuda, Wanita dan Puteri BN Beaufort yang sentiasa menunjukkan komitmen tinggi serta semangat tidak berbelah bahagi dalam memperkukuhkan perjuangan parti.
“Terima kasih kepada seluruh jentera dan pasukan anak muda yang sentiasa komited serta menunjukkan semangat tinggi demi kesinambungan perjuangan parti.”

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Ketua Pemuda BN Beaufort, Ak Mohd Yazri Ak Mohd Yahaya; Setiausaha BN Parlimen Beaufort, Abd Rahman Mohd Taib, serta barisan kepimpinan UMNO Bahagian Beaufort dan Ketua-Ketua Cawangan UMNO PDM Tenambak
Dalam perkembangan lain, Awang Aslee turut meluangkan masa menziarahi Tahir Anipah di Kg. Tempurong, Kuala Penyu, sebagai tanda keprihatinan terhadap masyarakat setempat.
Beliau berkata, ziarah sebegini bukan sahaja mencerminkan nilai kemanusiaan dan kasih sayang, tetapi juga menjadi ruang untuk pemimpin turun padang mendekati rakyat dan memahami keadaan mereka secara lebih dekat.
“Kita mendoakan agar En. Tahir diberikan kekuatan dan kesembuhan segera oleh Allah SWT. Ziarah seperti ini menjadi satu pendekatan penting untuk mengukuhkan hubungan antara pemimpin dan rakyat,” jelas beliau lagi. – UMNO Online
