Persidangan ASEAN Care Economy Perkukuh Ekosistem Ekonomi Penjagaan Serantau – Noraini
KUALA LUMPUR, 6 Nov – Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berbesar hati merasmikan Majlis Penutupan ASEAN Conference on the New Frontiers in the Care Economy 2025 yang berlangsung selama dua hari di ibu negara.
Beliau yang juga Ketua Wanita UMNO Malaysia berkata sepanjang dua hari persidangan tersebut, pelbagai sesi pleno dan perbincangan diadakan bagi meneliti hala tuju serta peluang baharu dalam bidang ekonomi penjagaan, selain menghasilkan idea, strategi dan cadangan dasar yang dapat dimanfaatkan oleh negara-negara ASEAN dan rantau Asia Pasifik.
“Persidangan ini menghimpunkan lebih 150 peserta daripada negara-negara ASEAN, agensi kerajaan, institusi pengajian tinggi swasta serta pertubuhan antarabangsa.
“Ia merupakan satu platform penting dalam memperkukuh ekosistem ekonomi penjagaan di rantau ini.
“Saya amat menghargai komitmen semua pihak yang terlibat, khususnya para pakar dan pengamal dasar yang hadir bagi berkongsi pandangan serta pengalaman,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.
Noraini turut mengharap segala dapatan dan cadangan daripada persidangan ini menjadi asas kepada pembentukan dasar yang lebih inklusif dan mampan demi memperkukuh ekonomi penjagaan, sekaligus memastikan kesejahteraan rakyat di seluruh rantau ini terus terpelihara.
Turut bersama pada majlis penutupan ini ialah Ketua Setiausaha KPWKM, Datuk Dr Maziah Che Yusoff dan bersama pegawai-pegawai kanan kementerian. – UMNO Online
