“Lahad Datu Maju Dan Indah Tanpa Sampah” Komitmen Kesejahteraan Menyeluruh Untuk Rakyat
LAHAD DATU, 6 Nov – Barisan Nasional (BN) Lahad Datu menegaskan komitmen untuk terus memperjuangkan kesejahteraan rakyat dengan pelancaran Manifesto Pilihan Raya bertemakan “Lahad Datu Maju dan Indah Tanpa Sampah”, yang memberi tumpuan kepada pembangunan menyeluruh dan inklusif bagi semua lapisan masyarakat.
Pengerusi BN Lahad Datu merangkap Ketua UMNO Bahagian terbabit, Sharif Musa Sharif Mabul, berkata manifesto tersebut dirangka berdasarkan keperluan semasa rakyat serta cabaran masa depan, dengan menitikberatkan aspek ekonomi, sosial, pendidikan, dan kebersihan persekitaran.
“Manifesto ini bukan hanya menumpukan pembangunan fizikal semata-mata, tetapi juga merangkumi kesejahteraan hidup masyarakat. Kita mahu memastikan tiada siapa yang akan dipinggirkan,” ujar beliau ketika mempengerusikan Mesyuarat Khas Manifesto BN Lahad Datu, semalam.

Sharif Musa menjelaskan, tema “Lahad Datu Maju dan Indah Tanpa Sampah” mencerminkan aspirasi BN Lahad Datu untuk membangunkan daerah itu secara seimbang iaitu dari aspek kemajuan infrastruktur, ekonomi dan sosial sambil menekankan nilai kebersihan dan kelestarian alam sekitar sebagai asas kesejahteraan hidup masyarakat.
Beliau berkata, manifesto tersebut merangkumi pelbagai bidang utama termasuk:
• Perumahan rakyat yang lebih selesa, mampu milik dan berdaya huni.
• Pembangunan modal insan dan pendidikan, bagi melahirkan generasi berilmu dan berdaya saing.
• Keselamatan dan kesejahteraan komuniti, melalui kerjasama masyarakat dengan agensi keselamatan.
• Pemberdayaan wanita dan generasi muda, khususnya dalam bidang ekonomi, kepimpinan dan keusahawanan.
• Kesejahteraan sosial dan kualiti hidup rakyat, termasuk tumpuan terhadap warga emas dan orang kelainan upaya (OKU).
• Peningkatan infrastruktur asas rakyat serta penambahbaikan kemudahan awam.
• Agenda Bumiputera dan kesyumulan Islam, selaras dengan nilai dan identiti masyarakat setempat.
• Tadbir urus berintegriti serta usaha merapatkan jurang antara bandar dan luar bandar.
“Manifesto ini berpaksikan kepada realiti kehidupan rakyat Lahad Datu. Kita mahu memastikan setiap lapisan masyarakat, dari bandar hingga ke pedalaman, menikmati kemajuan secara adil dan seimbang,” katanya lagi.
Dalam pada itu, beliau turut meneruskan pelaksanaan Program Saling Mengasihi di Kampung Silam, yang sudah berjalan selama tiga tahun.
Ujarnya, program ini berperanan sebagai jambatan silaturrahim antara masyarakat dan kepimpinan BN, berasaskan nilai kasih sayang, toleransi serta persefahaman.
Menurut Sharif Musa, keyakinan dan sokongan masyarakat Kampung Silam, terutamanya golongan belia dan pemuda, membuktikan bahawa BN terus mendapat kepercayaan sebagai parti pilihan rakyat menjelang Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN-17).
“Program Saling Mengasihi ini adalah warisan perjuangan pemimpin-pemimpin BN terdahulu. Ia membuktikan bahawa BN sentiasa dekat di hati rakyat — bukan hanya ketika pilihan raya, tetapi secara berterusan melalui program kebajikan dan kemasyarakatan,” katanya.

Dalam majlis yang diadakan di Kampung Silam itu, seramai 150 penerima menerima sumbangan bakul beras sebagai sebahagian daripada usaha meringankan beban golongan memerlukan.
Sharif Musa turut menyatakan penghargaan kepada semua pihak yang bersama menjayakan program tersebut, termasuk jentera parti, pemuda, wanita serta sukarelawan akar umbi BN.
“Sumbangan ini mungkin kecil, tetapi maknanya besar. Ia simbol keprihatinan dan kasih sayang BN terhadap rakyat. Insya-Allah, kita akan teruskan program sebegini bagi membantu lebih ramai keluarga yang memerlukan,” tambahnya.
Beliau turut menyeru agar seluruh masyarakat Lahad Datu terus bersatu padu dan menolak politik perpecahan, sebaliknya menumpukan kepada agenda membangunkan daerah ini secara bersama.
“Kita mahu Lahad Datu bukan hanya maju dari segi pembangunan, tetapi juga indah, bersih dan harmoni — mencerminkan semangat perpaduan rakyatnya,” tegasnya lagi. – UMNO Online
