Kepimpinan Malaysia Di Persada Antarabangsa: Komitmen Berterusan Banteras Rasuah – Azalina

VIENNA, 6 Nov — Sidang Assembly of Parties (AoP) ke-14 International Anti-Corruption Academy (IACA) yang berlangsung di Vienna pada Selasa menandakan tamatnya tempoh Malaysia sebagai Presiden AoP IACA bagi sesi 2024–2025.

Tanggungjawab tersebut telah digalas oleh Menteri Undang-undang dan Reformasi Institusi, Datuk Seri Azalina Othman Said, yang menyifatkannya sebagai satu amanah besar yang dipikul dengan penuh rasa tanggungjawab dan kebanggaan.

Menurut Azalina yang juga Ketua Penerangan UMNO, tempoh setahun kepimpinan Malaysia di AoP IACA telah memberikan banyak pelajaran dan pengalaman berharga.
Beliau turut merakamkan penghargaan tidak terhingga kepada seluruh pasukan IACA termasuk para rakan, pegawai dan ahli sekretariat atas sokongan dan kerjasama erat sepanjang penggal kepimpinannya di peringkat antarabangsa.

Dalam sidang tersebut, Malaysia menyerahkan kepimpinan kepada H.E. Mr. Djordje Radulović, Wakil Tetap Montenegro ke IACA, yang dilantik sebagai Presiden baharu AoP IACA.

Azalina menzahirkan tahniah dan harapan agar kepimpinan baharu ini akan terus memperkukuh perjuangan global menentang rasuah serta membina dunia yang berasaskan kejujuran dan keadilan.

Beliau menegaskan bahawa komitmen Malaysia dalam memerangi rasuah tidak berakhir dengan tamatnya penggal tersebut.

“Bagi Malaysia, komitmen kami tidak berakhir di sini. Di bawah kepimpinan tegas Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, Malaysia akan terus memperjuangkan prinsip integriti, kebertanggungjawaban dan tadbir urus berprinsip — seiring semangat Malaysia MADANI untuk dunia yang lebih telus dan beretika.

“Integriti bukan sekadar nilai — ia adalah jiwa kepada keadilan dan kemajuan sejagat,” katanya lagi. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO