PRN Sabah: TEGAR71 Bukti Keakraban BN Dengan Rakyat – Samasuddin Yusop

KUALA LUMPUR, 5 Nov – Program TEGAR71 yang bermula pada bulan Jun secara rasminya melabuhkan tirainya selepas menjelajah ke 25 lokaliti di seluruh kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Tanjung Batu, dengan siri penutup yang berlangsung penuh semangat di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Keramat.

Ketua UMNO Bahagian Kalabakan, Samasuddin Yusop berkata program tersebut bukan sekadar siri jelajah poitik tetapi merupakan gerakan kemasyarakatan yang memberi ruang kepada rakyat bagi menyuarakan pandangan.

“TEGAR71 bukan sekadar siri jelajah politik, tetapi satu gerakan kemasyarakatan yang menghimpunkan suara rakyat dari kampung ke kampung. Program ini dirangka sebagai platform komunikasi dua hala antara pemimpin dan rakyat, berteraskan semangat ‘Turun, Dengar, Faham dan Bertindak’.

“Sepanjang 25 siri TEGAR71, pelbagai pendekatan telah diperkenalkan termasuk sesi dialog terbuka, kunjungan komuniti, bantuan pendidikan, serta santai rakyat. Setiap lokasi menjadi ruang pertemuan di mana suara penduduk setempat direkod, dianalisis dan dibawa ke meja tindakan parti serta agensi berkaitan.

“TEGAR71 telah berjaya membina semangat kebersamaan dan kepercayaan baharu antara rakyat dan Barisan Nasional (BN) di Tanjung Batu,” katanya kepada UMNO Online.

Turut hadir, Pengerusi BN Perak Datuk Seri Saarani Mohamad; Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Maslan; pimpinan UMNO Negeri Perak, Kalabakan serta masyarakat setempat.

Mengulas lanjut kata Samasuddin, TEGAR71 telah berjaya membangunkan semangat kebersamaan dan keyakinan baharu antara rakyat dan BN.

“Apa yang kita bina sejak Jun lalu bukan sekadar program tetapi satu gerakan. Kita bina semula keyakinan rakyat terhadap perjuangan BN dan TEGAR71 adalah buktinya,” katanya lagi.

“Dengan berakhirnya siri TEGAR71, jentera BN kini bersedia melangkah ke fasa seterusnya seperti program ‘Konco SBY’ dan ‘Kubu Biru’, yang akan memperkukuh persiapan menghadapi Pilihan Raya Negeri Sabah (PRN-17) akan datang,” ujarnya.

Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) menetapkan 29 November 2025 ini sebagai tarikh PRN17 bagi negeri Sabah. Hari penamaan calon ditetapkan pada 15 November, manakala hari mengundi awal pada 25 November 2025.

Tempoh berkempen yang ditetapkan adalah selama 14 hari bermula selepas pengisytiharan calon yang bertanding sehingga jam 11.59 malam 28 November 2025 (Jumaat).

PRN Sabah diadakan bagi mengisi kekosongan sebanyak 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO