Haji Automatik 60 Tahun: Kerajaan Disaran Minta Kuota Tambahan

KUALA LUMPUR, 4 Nov – Kerajaan disarankan untuk memohon kuota tambahan dari Arab Saudi sekiranya mahu melaksanakan dasar kelayakan automatik haji bagi bakal jemaah berusia 60 tahun ke atas.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, perkara tersebut turut mengambil kira senarai bakal jemaah menunggu giliran haji yang dilihat kini melebihi satu juta.

“Pada masa kini, Malaysia diberikan kuota haji sebanyak 31,600 oleh Kerajaan Arab Saudi. Kalau kita lihat senarai menunggu haji sehingga November tahun lalu, kita ada 1,039,691.

“Tempoh untuk menunggu bagi pendaftaran baharu adalah sekitar 100 tahun sekiranya mengikut penggiliran. Kita perlu kaji, daripada sejumlah lebih satu juta yang menunggu giliran, berapa ramaikah yang berumur 60 tahun?

“Andaikan sekiranya ada 200,000 daripada jumlah menunggu tersebut adalah 60 tahun dan ke atas, adakah praktikal kita meletakkan sebagai keutamaan? Adakah ini akan menyelesaikan masalah?” soalnya kepada UMNO Online.

Beliau yang juga bekas Menteri Agama turut menegaskan bahawa semua pihak perlu diberikan keadilan terutamanya dalam isu melibatkan penggiliran untuk menunaikan ibadah haji.

“Pada saya, sekiranya kerajaan ingin melaksanakan dasar kelayakan automatik haji untuk bakal jemaah berusia 60 tahun ke atas, perlu dikaji mekanisme yang terbaik agar ia memberi keadilan kepada semua pihak.

“Jika kita mengutamakan jemaah berusia 60 tahun ke atas, adakah adil kepada mereka yang menunggu giliran sebelum-sebelum ini? Saya yakin lebih separuh daripada jumlah bakal jemaah yang menunggu giliran adalah 60 tahun ke atas.

“Pada pandangan saya, sistem penggiliran adalah yang terbaik pada ketika ini,” katanya lagi.

Minggu lalu media melaporkan Tabung Haji (TH) akan meneliti dan mempertimbangkan cadangan bakal jemaah berumur 60 tahun dan ke atas diberikan kelayakan automatik menunaikan haji melalui pakej muassasah.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar, berkata pelaksanaan giliran menunaikan haji masih tertakluk kepada dasar penggiliran sedia ada yang ditentukan berdasarkan tarikh pendaftaran awal.

Terdahulu, beberapa Ahli Parlimen mencadangkan agar TH mempertimbangkan pemberian kelayakan automatik kepada bakal jemaah berusia 60 tahun ke atas bagi menunaikan haji menerusi pakej muassasah.

Turut dilaporkan, sistem pendaftaran haji sedia ada memerlukan warga emas yang belum tersenarai dalam giliran semasa mengemukakan permohonan rayuan dan perlu membuat pembayaran penuh haji berjumlah RM33,300 apabila diluluskan.

Kerajaan Arab Saudi terus memperketatkan syarat kesihatan dan kawalan kemasukan jemaah bagi musim haji 1447 Hijrah, sebagai langkah mengurangkan risiko kematian dan memastikan kelancaran ibadah di Tanah Suci. – UMNO Online

Oleh: Nuralyaa Izzati Azman

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO