Yayasan Pelajaran MARA & UMNO Ranau Terus Komited Perkasa Pendidikan Luar Bandar

RANAU, 4 Nov – Usaha berterusan dalam memperkukuh agenda pendidikan luar bandar terus menjadi fokus utama apabila Majlis Penyerahan Sumbangan Pendidikan anjuran Yayasan Pelajaran MARA (YPM) dengan kerjasama UMNO Bahagian Ranau berjaya dilaksanakan di tiga kawasan iaitu Bongkud, Nopong dan Narawang, semalam.

Majlis berkenaan disempurnakan oleh Ketua UMNO Bahagian Ranau merangkap Pengerusi Barisan Nasional P.179 Ranau, Datuk Junaidi Sahat, yang turut menyampaikan sumbangan kepada para pelajar Tingkatan 6 selaku penerima manfaat program tersebut.

Junaidi menegaskan bahawa program seumpama ini merupakan manifestasi keprihatinan kepimpinan terhadap masa depan pendidikan anak-anak luar bandar, khususnya di Ranau.

Beliau berkata, melalui inisiatif yang dilaksanakan oleh YPM dan UMNO Ranau ini, pelajar bukan sahaja dibantu dari segi kewangan tetapi juga diberi dorongan moral untuk terus berusaha mencapai kecemerlangan akademik.

“Pendidikan adalah asas kemajuan bangsa. Dalam dunia yang semakin mencabar, kita mahu anak-anak luar bandar juga berpeluang menikmati akses pendidikan berkualiti dan memiliki keyakinan untuk bersaing di peringkat yang lebih tinggi,” ujar beliau kepada UMNO Online.

Menurut Junaidi, inisiatif seperti ini mencerminkan komitmen berterusan YPM dan UMNO Ranau dalam memperkasa agenda pendidikan luar bandar, sejajar dengan usaha memperluas peluang pendidikan kepada semua lapisan masyarakat.

Katanya, perhatian khusus perlu diberikan kepada pelajar luar bandar agar mereka tidak tercicir dan mampu bersaing dengan pelajar dari kawasan bandar.

“Apabila kita melabur dalam pendidikan, kita sebenarnya sedang membina masa depan yang lebih baik untuk generasi akan datang. Sumbangan ini mungkin kecil dari segi jumlah, tetapi besar maknanya bagi pelajar yang memerlukan,” tambah beliau.

Ujarnya, program ini juga bertujuan meringankan beban kewangan pelajar yang sedang berdepan dengan pelbagai cabaran dalam menyiapkan diri untuk peperiksaan dan melanjutkan pelajaran ke peringkat universiti.

“Di samping itu, ia turut menyemarakkan semangat pelajar untuk terus menuntut ilmu, meningkatkan daya saing, serta membentuk sahsiah unggul sebagai pemimpin masa depan.”

Majlis yang berlangsung dengan penuh semangat kekeluargaan itu turut menjadi platform bagi mempererat hubungan antara masyarakat, kepimpinan setempat dan agensi kerajaan.

“Ia membuktikan bahawa sinergi antara pihak berwajib dan masyarakat mampu melahirkan generasi muda yang berilmu, berdaya saing dan berwawasan, selaras dengan aspirasi pembangunan negara,” katanya lagi.

Junaidi juga berharap agar pelajar-pelajar yang menerima sumbangan tersebut menggunakan bantuan itu dengan sebaiknya serta menjadikan pendidikan sebagai kunci utama untuk mencapai kejayaan dalam kehidupan.

“Semoga sumbangan ini menjadi pemangkin kepada kejayaan anak-anak kita, dan semoga mereka terus membawa nama Ranau ke mercu kecemerlangan,” katanya. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO