Krisis Sudan: Malaysia, Komuniti Antarabangsa Seru Gencatan Senjata Dilaksana Serta-Merta
KUALA LUMPUR, 4 Nov – Malaysia bersama komuniti antarabangsa menyeru agar gencatan senjata dilaksanakan serta-merta dalam krisis di Sudan yang berlaku pada ketika ini.
Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan menerusi hantaran di laman Facebooknya berkata, pembunuhan skala besar oleh Pasukan Sokongan Pantas (RSF) mengakibatkan antara krisis pemindahan paksa dan kebuluran yang paling dahsyat di dunia.

“Malaysia, bersama masyarakat sedunia, memerhati dengan rasa tergamam dan dukacita yang mendalam, pembunuhan skala besar oleh RSF di Sudan. Kekejaman ini mengakibatkan antara krisis pemindahan paksa dan kebuluran yang paling dahsyat di dunia.
“Skala kekejaman yang berlaku sungguh menyayat hati. Seperti yang ditunjukkan melalui imej satelit… memperlihatkan darah membasahi bandar El Fasher, ia menjadi simbol hitam terhadap umat manusia seluruhnya. Keadaan ini amat tidak berperikemanusiaan dan sama sekali tidak dapat diterima,” katanya menerusi satu kenyataan.
Mengulas lanjut, beliau yang juga Timbalan Presiden UMNO menegaskan bahawa keganasan melampau tersebut perlu dihentikan segera.
“Keganasan melampau yang tidak masuk akal ini mesti dihentikan segera. Malaysia bersama komuniti antarabangsa menyeru agar gencatan senjata dilaksanakan serta-merta dan mendesak RSF membuka laluan kemanusiaan untuk membolehkan bantuan serta bekalan disalurkan kepada penduduk El Fasher dan semua kawasan yang terjejas di wilayah Darfur.
“Dunia tidak boleh berdiam diri dan membiarkan tragedi genosid Darfur berulang kembali. Kita mesti memastikan sejarah paling gelap itu tidak lagi berulang,” katanya lagi.

Pada Selasa media melaporkan Menteri Negara bagi Kebajikan Sosial Sudan, Salma Ishaq, mendakwa kumpulan separa tentera RSF membunuh 300 wanita dalam tempoh dua hari pertama selepas memasuki bandar El-Fasher, ibu negeri Darfur Utara di barat Sudan.
Ishaq, dalam satu kenyataan, berkata wanita berkenaan turut menjadi mangsa serangan seksual, keganasan dan penyeksaan.
Pada 26 Oktober lalu, RSF merampas kawalan ke atas El-Fasher dan melakukan ‘pembunuhan beramai-ramai’ terhadap orang awam, menurut pertubuhan tempatan dan antarabangsa, sambil memberi amaran bahawa serangan itu boleh mengukuhkan pembahagian wilayah Sudan secara geografi.
Rabu lalu, pemimpin RSF, Mohamed Hamdan Dagalo (Hemedti) mengakui bahawa ‘pelanggaran’ dilakukan oleh pasukannya di El-Fasher, sambil mendakwa jawatankuasa siasatan sudah ditubuhkan.
Tentera Sudan dan RSF terbabit dalam peperangan sejak 15 April 2023. – UMNO Online
