Abdul Rahman Teguh Bawa Agenda Prihatin Rakyat, Ziarah Mangsa Strok Di Sungai Sibuga
SANDAKAN, 4 Nov – Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad, meluangkan masa menziarahi seorang penduduk Kampung Sungai Sibuga, Saudara Guntur Abdul Rauf, yang kini terlantar akibat kecederaan serius pada otak serta serangan strok yang dialaminya, baru-baru ini.
Ketibaan Abdul Rahman yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO disambut mesra oleh ahli keluarga mangsa.
Suasana hiba menyelubungi kunjungan tersebut apabila beliau berpeluang melihat sendiri keadaan Guntur yang kini tidak berdaya, namun tetap dijaga dengan penuh kasih sayang oleh isterinya yang setia menemani setiap hari.

Menurut Abdul Rahman, beliau tersentuh melihat kecekalan dan pengorbanan isteri Guntur dalam menguruskan suaminya yang memerlukan penjagaan rapi.
“Masuk sahaja ke rumah mereka, hati terasa sebak. Bukan kerana sedih semata-mata, tetapi kerana saya nampak kasih dan usaha keluarga ini menjaga dengan penuh sabar dan ketabahan,” katanya.
Beliau turut dimaklumkan mengenai rutin harian isteri Guntur yang saban hari menguruskan suaminya dengan bantuan anak-anak dan keluarga terdekat.
Menurut Abdul Rahman, pihak Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) telah menyalurkan bantuan Pencen Ilat serta kemudahan lain termasuk katil hospital, kerusi roda, lampin pakai buang dan susu khas bagi membantu meringankan beban penjagaan di rumah.
“Alhamdulillah, bantuan-bantuan yang disalurkan oleh PERKESO sedikit sebanyak membantu keluarga ini menguruskan keperluan Guntur dengan lebih baik. Saya juga doakan agar beliau diberi kesembuhan dan semoga keluarganya terus dikurniakan kekuatan serta kelapangan hati,” tambah beliau.
Dalam pada itu, Abdul Rahman turut menyeru masyarakat agar terus mengambil berat terhadap ahli keluarga dan jiran yang memerlukan bantuan, terutama mereka yang menghidap penyakit kronik atau mengalami kecacatan kekal.
Kunjungan tersebut turut disertai Ahli Parlimen Libaran merangkap Ketua Penerangan UMNO Sabah, Datuk Suhaimi Nasir dan kepimpinan setempat. – UMNO Online
