PRN Sabah: Pilih ‘Kontraktor’ Yang Tahu Bekerja – Salleh Said Keruak

KOTA KINABALU, 3 Nov – Bendahari UMNO Sabah, Datuk Seri Salleh Said Keruak menyeru rakyat agar menilai prestasi kerajaan dan kepimpinan berdasarkan hasil kerja serta kejujuran dalam melaksanakan tanggungjawab terhadap rakyat.

Beliau menyamakan proses pilihan raya dengan pemilihan kontraktor oleh rakyat sebagai “tuan punya projek” yang berhak menentukan sama ada mahu mengekalkan atau menukar kerajaan berdasarkan pencapaian dalam tempoh lima tahun lalu.

“Dalam pilihan raya negeri, rakyat ialah tuan punya projek. Rakyat menilai sama ada mahu sambung atau tukar kontraktor berdasarkan hasil kerja lima tahun yang lalu,” katanya dalam hantaran menerusi laman Facebooknya.

Menurut Salleh, parti yang memerintah ibarat kontraktor yang diberi amanah membangunkan negeri dan membantu rakyat, maka, selepas tempoh berkhidmat, rakyat perlu menilai sama ada kerja telah siap, janji ditepati, dan kebajikan rakyat terbela.

Beliau turut menegaskan bahawa tiada kontraktor atau parti yang sempurna, namun rakyat mempunyai kebijaksanaan untuk menilai siapa yang paling berdisiplin, beramanah dan menunjukkan hasil terbaik.

“Kadang-kadang projek besar memerlukan gabungan beberapa kontraktor untuk siap dengan baik. Begitu juga dalam politik — gabungan parti yang tahu bekerjasama boleh menghasilkan kerja yang lebih mantap,” tambahnya.

Salleh juga mengingatkan rakyat agar menilai bukan semata-mata berdasarkan nama atau populariti, tetapi kepada prestasi dan kejujuran dalam melaksanakan tanggungjawab.

“Yang penting bukan siapa namanya, tetapi hasil dan prestasinya. Pilihlah kontraktor — atau gabungan kontraktor — yang terbukti tahu bekerja, berpengalaman dan jujur dalam amanah,” katanya lagi.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh penamaan calon PRN Sabah pada 15 November, manakala tarikh pengundian awal dan hari pengundian masing-masing pada 25 dan 29 November.

Pada 6 Oktober lepas, Ketua Menteri Sabah mengumumkan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi memberikan laluan kepada PRN Sabah ke-17.

DUN Sabah mempunyai 79 kerusi dengan 73 daripadanya dipertandingkan manakala enam lagi merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang dilantik. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO