Menegakkan Hak Sabah… Dari Janji Ke Tindakan – Salleh Said Keruak
KOTA KINABALU, 23 Okt – Bendahari UMNO Sabah, Datuk Seri Salleh Said Keruak menegaskan bahawa perjuangan menegakkan hak negeri Sabah bukan sekadar tuntutan politik, sebaliknya ia adalah soal maruah, keadilan dan pelaksanaan sebenar janji yang telah termeterai sejak pembentukan Malaysia pada tahun 1963.
Menurut beliau, keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu baru-baru ini yang menegaskan hak 40 peratus hasil negeri sebagai hak perlembagaan, membuktikan bahawa perkara tersebut bukan ihsan politik tetapi jaminan yang termaktub di bawah Perkara 112C dan 112D Perlembagaan Persekutuan.
“Orang Sabah mesti diutamakan dalam mempertahankan hak dan menentukan masa depan kita sendiri. Hak 40 peratus hasil negeri bukan rundingan baharu atau sumbangan, tetapi kewajipan perlembagaan yang menjadi asas kepada keadilan dalam Persekutuan Malaysia,” tegasnya dalam kenyataan melalui laman Facebooknya berkaitan hal ini.

Salleh berkata, janji-janji yang telah dimeterai sewaktu penubuhan Malaysia perlu diterjemahkan kepada tindakan yang nyata dan bukan sekadar retorik.
Katanya, kerjasama serta saling menghormati antara Sabah, Sarawak dan Semenanjung merupakan tunjang kepada kestabilan dan kekuatan negara.
Beliau turut menekankan keperluan Sabah memperkukuh keupayaan sendiri dalam aspek kewangan, pentadbiran dan perancangan ekonomi supaya setiap hak yang diperjuangkan membawa manfaat terus kepada rakyat.
“Menegakkan hak bukan soal konfrontasi, tetapi soal maruah dan keadilan. Orang Sabah mesti bersatu dengan semangat kematangan dan perpaduan untuk memastikan negeri ini ditempatkan di kedudukan sewajarnya dalam Persekutuan Malaysia,” ujarnya.
Jelas Salleh lagi, perjuangan ini bukan untuk memisahkan Sabah daripada kerangka Persekutuan, sebaliknya untuk memastikan semangat keadilan dan keseimbangan dalam pembahagian hasil negara benar-benar dipelihara sebagaimana yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Terdahulu, pada 17 Oktober Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu mengeluarkan perintah mandamus yang mengarahkan Kerajaan Persekutuan mengadakan semakan semula hasil bersama Kerajaan Negeri Sabah di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan bagi menegakkan semula hak 40 peratus hasil Sabah bagi setiap tahun kewangan dari 1974 hingga 2021. – UMNO Online
