BN Tidak Gentar Hadapi PRN, Rakyat Sabah Nilai Berdasarkan Prestasi Cemerlang – Mohamad Alamin

KOTA KINABALU, 22 Okt – Sejarah telah membuktikan bahawa Barisan Nasional (BN) mempunyai ‘track record’ yang terbaik sepanjang meneraju negeri Sabah.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Mohamad Alamin berkata meskipun Pilihan Raya Negeri (PRN) dijangka paling sengit dan getir, namun BN tidak pernah gentar sebaliknya  bersedia berdasarkan rekod cemerlang mentadbir negeri ini.

“PRN Sabah ke-17 kali ini adalah pilihan raya yang sengit dan begitu getir tetapi BN tidak gusar situasi tersebut malah mempunyai keyakinan yang begitu tinggi. BN mempunyai ‘track record’ yang terbaik untuk memerintah negeri ini begitu lama dan buktinya telah ada didepan mata.

“Insya Allah… dengan berbekalkan rekod yang begitu cemerlang pada era pemerintahan dahulu, rakyat dapat membuat perbandingan. Di Sabah ini banyak parti yang pernah menjadi kerajaan negeri seperti BN, Warisan dan GRS, maka buatlah perbandingan dengan sewajar-wajarnya.

“Dengan berasaskan hujah dan pencapaian pasti rakyat akan memilih BN. InsyaAllah, BN akan menjadi pilihan utama di negeri ini apabila rakyat menilai rekod prestasi BN sepanjang meneraju negeri ini,” katanya kepada UMNO Online.

Tambah Ketua UMNO Bahagian Kimanis itu lagi, beliau berharap rakyat dapat berfikir dan menilai dengan semasak-masaknya serta membuat keputusan yang tepat dengan melihat pada rekod prestasi BN termasuk mana-mana wakil rakyat yang sedang berkhidmat pada kerajaan hari ini di peringkat Pusat.

Mengulas lanjut, Timbalan Menteri Luar Negeri itu turut mengimbau zaman pemerintahan BN apabila berlaku insiden kejadian di Kampung Tanduo, maka pemimpin BN yang menyelesaikan isu tersebut.

“Perdana Menteri ketika itu adalah Datuk Seri Mohd Najib Razak dan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. Kedua-dua pemimpin BN ini telah menyelesaikan insiden tersebut dan maka tertubuh Eastern Sabah Safety Zone (ESSCOM).

“Bukan itu saja malah pemimpin-pemimpin BN ketika itu dipimpin oleh Ketua Menteri Sabah, Tun Musa Aman telah berjaya membawa banyak pembangunan yang berimpak tinggi seperti Pan Borneo, Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan banyak lagi. Itu adalah hasil pembelaan rakyat, kerja keras serta sumbangan idea dari pemimpin BN,” jelasnya.

katanya, ini adalah hujah-hujah yang cukup baik dan berimpak tinggi serta boleh dijadikan sebagai penelitian rakyat Sabah ketika membuat pilihan pada PRN Sabah nanti.

Pada masa yang sama kata Mohamad lagi, semua jentera BN akan digerakkan sepenuhnya bagi memastikan kemenangan berpihak pada parti ini.

“Jentera BN kali ini berada dalam keadaan yang cukup tersusun, mantap dan bersemangat tinggi. Mereka benar-benar bersedia untuk menghadapi PRN Sabah dan diakui oleh Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin.

“InsyaAllah, kita akan ‘all out’, solid bergerak dan sederap, seia sekata seterusnya akan mencapai kemenangan PRN Sabah pada kali ini,” katanya lagi.

Beliau turut menasihati semua jentera BN agar mengetepikan segala perbalahan peribadi agar dapat mencapai kemenangan yang penuh bermakna pada PRN kali ini.

“Saya menasihati kepada semua jentera BN di seluruh negeri Sabah, ketepikan dahulu kepentingan peribadi (sekiranya ada). Ayuh… kita bersama-sama mencari titik persamaan dan yang penting matlamat sama iaitu untuk mencapai kemenangan dan jadikan matlamat itu sebagai kiblat perjuangan pada PRN Sabah,” tegasnya lagi. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO