UMNO Kangar Kecam Rakaman Audio Tular, Tegas Pertahan Institusi Raja Perlis

KUALA LUMPUR, 21 Okt – UMNO Bahagian Kangar menempelak kandungan satu rakaman audio tular dikaitkan dengan Menteri Besar Perlis yang mengandungi beberapa kenyataan sensitif.

Setiausahanya, Sabri Ismail berkata ini kerana rakaman itu mengandungi ucapan yang menimbulkan sangkaan buruk terhadap kewibawaan Institusi Raja Negeri Perlis.

“Sekiranya hal ini benar, maka ia merupakan satu pelanggaran adab dan prinsip kesetiaan yang amat serius, serta menyinggung maruah negeri yang berdaulat.

“Institusi Raja Negeri Perlis bukan sekadar lambang perlembagaan, tetapi ia juga merupakan payung keadilan dan tonggak perpaduan seluruh rakyat negeri ini. Setiap pemimpin negeri wajib menjunjung tinggi kedaulatan Tuanku Raja Perlis sebagai ketua agama Islam dan simbol penyatuan rakyat.

“Menyentuh atau memperlekehkan kedudukan Baginda Tuanku secara terbuka adalah satu tindakan biadab yang bertentangan dengan nilai Islam, adat Melayu serta perlembagaan Negeri,” katanya menerusi satu hantaran.

Menurut Sabri lagi rakaman itu juga membuktikan bahawa Perikatan Nasional (PN) kini sedang berdepan perpecahan dalaman yang serius.

“UMNO Bahagian Kangar tidak berhasrat untuk mencampuri urusan mereka, namun kegagalan mengurus perpaduan dalam kerajaan negeri menimbulkan persoalan besar tentang keupayaan mereka mentadbir negeri Perlis dengan baik dan berhemah,” ujar beliau.

Sehubungan itu, UMNO Bahagian Kangar menegaskan pendirian berikut:

a) Menjunjung kasih dan mempertahankan kemuliaan Institusi Raja Negeri Perlis sebagai teras kestabilan dan maruah negeri.

b) Menggesa siasatan segera dan telus oleh pihak berkuasa bagi menentukan ketulenan audio tersebut serta mengambil tindakan sewajarnya tanpa kompromi.

c) Menolak budaya politik yang kotor, beremosi dan mencemarkan adab, serta menimbulkan kebencian dalam kalangan rakyat.

d) Menyeru seluruh rakyat Perlis agar kekal beradab, tenang dan tidak terpengaruh dengan provokasi politik yang boleh merosakkan keharmonian negeri. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO