UMNO Johor Terus Komited Bekerja Untuk Rakyat
JOHOR BAHRU, 21 Okt – UMNO Johor menegaskan komitmennya untuk terus menjadi parti yang bekerja untuk rakyat dengan memperjuangkan kebajikan, kestabilan dan pembangunan di setiap lapisan masyarakat.
Menteri Besar Johor merangkap Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, berkata UMNO Johor kekal fokus memastikan setiap dasar kerajaan negeri benar-benar memberi manfaat kepada rakyat serta menyumbang kepada kemakmuran ekonomi negeri.

“UMNO Johor sentiasa komited menjadi parti yang bekerja untuk rakyat dalam memperjuangkan kebajikan, kestabilan dan pembangunan di setiap lapisan masyarakat,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya selepas mempengerusikan Mesyuarat Perhubungan UMNO Negeri Johor yang diadakan di sini, semalam.
Menurutnya, perjuangan UMNO Johor juga seiring dengan pelaksanaan Agenda Maju Johor 2030 yang memberi penekanan kepada kesejahteraan rakyat, peluang ekonomi saksama, pendidikan berkualiti dan kemajuan inklusif untuk semua.
Beliau turut menyeru seluruh kepimpinan dan ahli parti agar terus memperkukuh perpaduan serta memperkemas gerak kerja di semua peringkat bagi memastikan perjuangan parti kekal relevan dan diterima rakyat.
“Marilah kita terus rapatkan saf demi agama, bangsa dan tanah air tercinta. UMNO Johor akan terus menjadi benteng kekuatan rakyat dalam merealisasikan aspirasi Johor sebagai negeri maju menjelang tahun 2030,” katanya lagi. – UMNO Online
