PMKS Terus Digerakkan Sebagai Peneraju Ekonomi Negara
KUALA LUMPUR, 21 Okt – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan bahawa Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) akan terus digerakkan sebagai tulang belakang utama ekonomi negara.
Beliau yang juga Presiden UMNO berkataa, sektor PMKS telah menyumbang sebanyak 39.5 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) serta membuka peluang pekerjaan kepada jutaan rakyat Malaysia.
Justeru, katanya, kejayaan ekonomi negara pada masa hadapan bergantung kepada kemampuan memperkasa sektor ini agar kekal berdaya saing, inovatif dan mampan.

“Bagi memastikan hala tuju yang jelas dan dasar yang menyeluruh, hari ini saya telah mempengerusikan Mesyuarat Majlis Pembangunan Usahawan dan PMKS Kebangsaan (MPUPK) Bil. 1/2025 di Kuala Lumpur bagi membincangkan dasar dan strategi baharu keusahawanan negara,” katanya dalam hantaran menerusi laman Facebooknya.
Menurut Ahmad Zahid, mesyuarat tersebut turut menyambut baik pengumuman Belanjawan 2026 yang menyediakan kemudahan pinjaman dan jaminan bernilai RM50 bilion bagi menyokong pertumbuhan PMKS dan koperasi di seluruh negara.
“Antara ketetapan penting yang telah diputuskan dalam mesyuarat sebentar tadi ialah pelaksanaan Strategi Kebangsaan Anti-Rasuah untuk PKS bagi meningkatkan budaya etika dan integriti dalam perniagaan.
“Pendekatan baharu ini akan memanfaatkan teknologi seperti Kecerdasan Buatan (AI) bagi mempercepat pelaksanaan inisiatif dan memastikan keberkesanannya kepada usahawan.
“Insya-Allah, kita akan terus memperkukuh ekosistem keusahawanan negara melalui dasar yang inklusif, progresif dan berpaksikan integriti. Matlamat kita jelas iaitu menjadikan PMKS sebagai pemacu utama ekonomi nasional dan serantau, serta mewujudkan peluang lebih luas kepada rakyat,” ujarnya.
Tambah beliau, usaha berterusan ini juga adalah selaras dengan aspirasi Dasar Keusahawanan Nasional 2030 (DKN 2030) dan pembangunan Malaysia MADANI yang menekankan kesejahteraan rakyat serta kemampanan ekonomi negara. – UMNO Online
