MPPWP Titiwangsa Kukuh Jalinan Rakyat dan Pemimpin – Johari
KUALA LUMPUR, 21 Okt – Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani terus mengukuhkan amalan politik khidmat bakti dengan turun padang bertemu komuniti setempat.
Pada semalam, beliau yang juga Naib Presiden UMNO berbesar hati menyampaikan Watikah Pelantikan Majlis Perwakilan Penduduk Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (MPPWP) bagi Sub Zon Titiwangsa.
Menurutnya, penubuhan MPPWP Zon Titiwangsa adalah satu inisiatif penting sebagai platform pentadbiran yang menghimpunkan pemimpin tempatan di peringkat komuniti.
“Mereka memainkan peranan penting sebagai jambatan penghubung antara penduduk dengan kementerian, jabatan, pihak berkuasa tempatan (DBKL) serta pejabat Ahli Parlimen.
“Ahli MPPWP ini akan membantu menyelaras dan menyampaikan maklumat, maklum balas serta aduan rakyat berkaitan isu-isu perbandaran termasuk infrastruktur, keselamatan, kemudahan awam dan kesejahteraan komuniti di kawasan Parlimen Titiwangsa,” katanya.
Johari menegaskan bahawa kerjasama erat antara pemimpin masyarakat, agensi pelaksana dan rakyat merupakan kunci utama dalam menjayakan agenda pembangunan dan meningkatkan kualiti hidup rakyat.
Beliau turut menyeru semua yang dilantik agar sentiasa mendengar suara rakyat dan menjadi ejen penyampai maklumat yang berkesan.
“Kerjasama erat antara pemimpin masyarakat, agensi pelaksana dan rakyat adalah kunci utama dalam membina Parlimen Titiwangsa yang lebih baik dan sejahtera. Selamat menjalankan tugas dengan terus berkhidmat untuk rakyat,” ujar beliau. – UMNO Online
