‘Hogoh Jelai’ Hanyalah Simbol Politik Kebencian, Bukan Budaya Orang Pahang – Fadzli Kamal

KUALA LUMPUR, 21 Okt – Exco Kerajaan Negeri Pahang Fadzli Mohamad Kamal berkata ‘Hogoh Jelai’ yang dibawa oleh pembangkang hanyalah simbol politik kebencian dan bukan budaya bagi rakyat di negeri itu.

Bidas Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan Negeri itu, malahan yang ‘berkokok’ membawa slogan tersebut bukanlah rakyat negeri Pahang.

“Mereka datang dengan budaya doktrin fitnah dan kebencian, tatkala mereka sendiri bergelumang krisis identiti – gagal tadbir dan bangunkan negeri sendiri (SG4 – Negeri Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis), kini nak ganggu negeri orang.

“Prestasi Kerajaan Negeri Pahang sangat cemerlang dalam setiap indeks. Ekonomi berkembang sangat progresif, syiar Islam subur, inklusif dan kondusif, pembangunan negeri berkembang pesat, kebajikan rakyat dijaga secara komprehensif merangkumi semua lapisan umur,” tegas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dong itu dalam satu hantaran di Facebook.

Tambah Fadzli lagi, segala indikator itu meletakkan Pahang jauh lebih baik berbanding prestasi negeri SG4.

“’Tiada Janji, Lihat Bukti’. Mentelah rumah sendiri pun pahat dah berbunyi… ada hati nak hogoh rumah orang.

“Syukur rakyat Pahang kekal matang, bijak menilai, dan tak mudah digoyah dengan politik kebencian,” katanya lagi.

Dilaporkan program ‘Hogoh Jelai’ anjuran Perikatan Nasional (PN) pada Ahad malam lalu gagal mencapai sasaran kehadiran apabila hanya mampu mengumpul sepuluh peratus penyokong mereka berbanding sasaran penganjur seramai 30 ribu orang walaupun pemimpin atasan di peringkat pusat dan negeri hadir. – UMNO ONLINE

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO