Selamat Hari Deepavali, Ahmad Zahid Seru Kukuhkan Perpaduan Dan Toleransi
KUALA LUMPUR, 20 Okt – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, menzahirkan ucapan Selamat Menyambut Hari Deepavali 2025 kepada seluruh penganut agama Hindu di Malaysia.
Dalam perutusannya, beliau yang juga Presiden UMNO menyeru agar perayaan Deepavali dijadikan medan memperkukuh semangat perpaduan, toleransi dan saling menghormati antara kaum yang menjadi teras kekuatan negara berbilang bangsa.

“Dalam semangat Deepavali ini, marilah kita terus mengukuhkan perpaduan, memperkukuh semangat toleransi, hormat-menghormati dan kasih sayang yang menjadi asas kekuatan negara kita yang berbilang kaum dan budaya,” katanya.
Menurut Ahmad Zahid, cahaya Deepavali yang melambangkan kemenangan kebaikan ke atas kejahatan harus dijadikan inspirasi untuk terus membawa sinar keharmonian dalam kehidupan bermasyarakat.
“Saya percaya, seperti cahaya pelita yang menyinari kegelapan, perpaduan rakyat Malaysia akan terus menjadi sinar yang membawa negara ini menuju masa depan yang makmur dan sejahtera,” ujarnya.
Beliau turut mendoakan agar sambutan Deepavali tahun ini membawa kebahagiaan, kedamaian dan kesejahteraan kepada semua yang meraikannya.
“Selamat menyambut Hari Deepavali kepada semua yang meraikannya. Semoga Deepavali kali ini membawa cahaya kebahagiaan dan kesejahteraan buat semua,” tambahnya. – UMNO Online
