Raikan Deepavali dalam Semangat Perpaduan – Ab Rauf

MELAKA, 20 Okt – Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh menyeru rakyat negeri ini untuk menyambut perayaan Deepavali dalam semangat perpaduan, kasih sayang dan saling menghormati tanpa mengira latar belakang agama dan budaya.

Dalam perutusannya sempena sambutan Pesta Cahaya, beliau mewakili seluruh kepimpinan Kerajaan Negeri Melaka mengucapkan Selamat Menyambut Hari Deepavali kepada semua penganut beragama Hindu.

“Semoga sambutan Pesta Cahaya ini membawa sinar kebahagiaan, keceriaan dan kemakmuran buat seisi keluarga. Luangkan masa berharga ini untuk saling menziarahi, mengeratkan hubungan, dan menghidupkan kembali semangat kekeluargaan yang menjadi tunjang masyarakat kita,” katanya.

Beliau turut menekankan kepentingan untuk terus memperkukuh semangat Keluarga MADANI demi keharmonian dan kesejahteraan bersama.

“Semoga cahaya Deepavali dapat menyinari hati, sekali gus memperkukuh Keluarga MADANI yang harmoni dan sejahtera,” tambahnya lagi.

Ab Rauf juga mendoakan agar negeri Melaka terus dipayungi kesejahteraan serta diterangi cahaya kasih sayang dan perpaduan yang berkekalan. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO