Azalina Ucap Selamat Menyambut Deepavali, Seru Perkukuh Perpaduan

KUALA LUMPUR, 20 Okt – Ketua Penerangan UMNO, Datuk Seri Azalina Othman Said mengucapkan Selamat Menyambut Hari Deepavali kepada seluruh rakyat Malaysia, khususnya masyarakat beragama Hindu yang meraikan perayaan tersebut.

Dalam perutusannya sempena perayaan Deepavali 2025 menerusi laman Facebooknya, beliau menyifatkan Deepavali sebagai

“Perayaan Cahaya” yang membawa maksud mendalam – cahaya kebenaran mengatasi kegelapan, keadilan mengatasi kejahatan dan harapan mengatasi cabaran.

“Nilai-nilai murni ini adalah semangat yang kita kongsi bersama sebagai rakyat Malaysia yang hidup dalam masyarakat majmuk dengan penuh hormat dan harmoni,” katanya.

Beliau turut menekankan bahawa dalam kerangka Malaysia MADANI, cahaya Deepavali melambangkan sinar kemajuan dan kejayaan yang boleh dikecapi bersama oleh seluruh rakyat Malaysia.

“Semoga perayaan kali ini membawa kegembiraan, kesejahteraan dan kebahagiaan kepada semua yang meraikannya, serta menjadi peluang untuk mengeratkan lagi ikatan perpaduan dan kekeluargaan antara kita semua,” tambahnya.

Azalina turut menasihatkan orang ramai yang melakukan perjalanan sempena cuti perayaan agar sentiasa berhati-hati di jalan raya dan mengutamakan keselamatan diri serta keluarga.

“Selamat Menyambut Deepavali 2025 kepada semua rakyat Malaysia,” ujar beliau lagi. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO