Wanita Kini Penggerak Utama Ekonomi – Noraini
PUTATAN, 19 Okt – Ketua Wanita UMNO Malaysia, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata golongan wanita kini bukan sahaja memainkan peranan sebagai tulang belakang keluarga, bahkan turut menjadi penggerak utama dalam dunia keusahawanan.
Noraini yang juga Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menegaskan ramai usahawan wanita hari ini membuktikan bahawa dengan peluang, bimbingan dan sokongan yang betul, wanita mampu mencipta impak besar terhadap pembangunan ekonomi negara.
“Program seperti ini amat penting untuk memberi pendedahan tentang peluang-peluang keusahawanan. Menyediakan platform jaringan perniagaan, memperkukuh kemahiran pengurusan dan digital serta menyuntik semangat juang dalam kalangan wanita untuk terus melangkah lebih jauh ke hadapan demi peningkatan ekonomi.
“Dengan adanya sokongan berterusan daripada agensi seperti MARA, kita bukan hanya boleh membantu wanita menambahkan pendapatan keluarga tetapi juga menjadikan mereka lebih berdaya saing, berdikari, berkembang maju dan berkeyakinan tinggi, bukan sahaja di pasaran tempatan, malah ke peringkat antarabangsa.
“Semua peserta diharapkan agar merebut peluang ini sebaik mungkin, manfaatkan ilmu dan rangkaian kemahiran yang diperoleh. Jadilah wanita berdaya saing, inovatif dan berwawasan,” katanya pada program Pemerkasaan Wanita MARA dan Seminar Kenegaraan Malaysia Madani, peringkat negeri Sabah, semalam.
Turut hadir, Presiden UMNO merangkap Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin, Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Mohamad Alamin, Ketua-ketua UMNO Bahagian Sabah dan para peserta.
Mengulas lanjut, beliau juga Ahli Parlimen Parit Sulong harap program seperti ini menjadi pemangkin kepada lahirnya lebih ramai usahawan wanita Sabah yang berjaya, yang akan mengharumkan nama komuniti dan negeri Sabah.
“Para usahawan wanita Sabah sentiasa gigih dan cekal berusaha untuk memajukan ekonomi diri. Inilah bukti kesungguhan dan keinginan para wanita di sini untuk terus menimba kemahiran baharu seiring dengan agenda pemerkasaan ekonomi Bumiputera yang diperjuangkan UMNO sejak penubuhannya.
“Terima kasih juga kepada MARA atas peranan besar dalam membangunkan wanita melalui latihan, pembiayaan dan jaringan keusahawanan yang inklusif.
“Saya percaya para wanita akan terus menyambut cabaran ini dengan semangat dan tanggungjawab, memastikan setiap peluang yang diberikan dapat dimanfaatkan sepenuhnya,” jelasnya. – UMNO Online
