Semoga Budaya Paksi Data Terus Subur Dalam Pentadbiran Negeri, Masyarakat – Wan Rosdy

KUALA LUMPUR, 19 Okt – Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berharap agar budaya berpaksikan data terus subur dalam pentadbiran dan masyarakat.

Menerusi hantaran di laman Facebooknya, Wan Rosdy yang juga Naib Presiden UMNO memaklumkan beliau telah berpeluang untuk meraikan Hari Statistik Sedunia pada Sabtu.

“Saya berpeluang meraikan Hari Statistik Negara dan Sedunia 2025 Peringkat Kebangsaan bertemakan ‘Statistik Nadi Kehidupan’, sebuah acara penting yang menghargai peranan data dan statistik sebagai nadi pembangunan negara yang diadakan di Dewan Terbuka Laman Sejahtera Sungai Koyan, Lipis.

“Sebagai wakil rakyat kerusi Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jelai, saya amat berbangga apabila penempatan luar bandar ini dipilih sebagai tuan rumah sambutan bertaraf nasional.

“Statistik bukan sekadar angka di atas kertas, tetapi cerminan kepada pembangunan yang dirangka oleh Kerajaan Negeri dan meningkatkan kehidupan pelbagai lapisan rakyat,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau menegaskan bahawa setiap dasar dan tindakan kerajaan Negeri Pahang adalah berasaskan data.

“Di Pahang, setiap dasar dan tindakan kerajaan negeri berasaskan data, daripada Belanjawan Negeri, projek infrastruktur, hingga Inisiatif Makmur Pahang (IM Pahang).

“Inilah pendekatan data yang memastikan setiap ringgit yang dibelanjakan memberi manfaat langsung kepada rakyat.

“Saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), serta semua agensi dan jabatan yang terlibat menjayakan acara ini.

“Semoga budaya berpaksikan data terus subur dalam pentadbiran negeri dan masyarakat, agar setiap keputusan dan dasar berpaksikan fakta, bukti dan realiti kehidupan rakyat,” katanya lagi. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO