PRN Sabah: Terus Yakinkan Rakyat, Sokong BN – Mohd Rafi

KOTA KINABALU, 19 Okt – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Mohd Rafi Alli Hassan menzahirkan rasa syukur dan keyakinan terhadap sokongan berterusan rakyat Sabah untuk bersama Barisan Nasional (BN).

Dilaporkan, pada Khamis kira-kira 100 ahli Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dari Kampung Bawan, Pusat Daerah Mengundi (PDM) Bandau di Membakut telah mengumumkan keluar parti dan menyatakan sokongan penuh kepada BN.

Dalam hal ini, Mohd Rafi yang juga Ketua UMNO Bahagian Labuan berkata, kekuatan BN di Sabah bukan hanya terletak pada nama parti, tetapi pada rekod cemerlangnya dalam membawa pembangunan, kesejahteraan dan keharmonian kepada rakyat sejak sekian lama.

“Syukur Alhamdulillah, BN tetap di hati rakyat. BN beri harapan demi masa depan, BN bawa pembangunan demi kesejahteraan, dan BN bawa kesejahteraan demi keharmonian.

“Ayuh bersama BN, kita ‘bikin’ balik Sabah,” katanya.

Menurut beliau, rakyat kini semakin bijak menilai keikhlasan dan kemampuan kepimpinan yang benar-benar berkhidmat untuk rakyat, bukannya hanya berpolitik untuk kepentingan kuasa apatah lagi pelbagai kegagalan telah dilakukan oleh GRS selaku kerajaan sebelum ini.

“BN telah terbukti menjadi parti yang membina asas kemajuan negeri dan kini tiba masanya untuk mengembalikan kegemilangan Sabah di bawah panji Barisan Nasional.

“Apa yang perlu sekarang ialah penyatuan dan kesungguhan untuk membangunkan semula Sabah bersama BN,” ujarnya.

Beliau turut menyeru seluruh jentera BN di setiap peringkat agar terus bekerja kuat, turun padang mendekati rakyat serta menyampaikan mesej perjuangan parti dengan penuh hikmah dan keikhlasan. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO