MARA Terus Fokus Perkasa Keusahawan Wanita – Dr Asyraf

PUTATAN, 19 Okt – Majlis Amanah Rakyat (MARA) akan terus memberi tumpuan kepada usaha memperkasakan wanita dalam bidang keusahawanan menerusi pelbagai inisiatif pembangunan dan pembiayaan yang menyeluruh.

Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, wanita terbukti mempunyai rekod yang baik dari segi amanah dan kebertanggungjawaban dalam menguruskan pembiayaan yang diberikan.

“MARA akan terus fokus kepada konteks pembangunan. Ini kerana apabila diberikan pembiayaan kepada wanita berbeza dengan kluster-kluster lain, sememangnya tidak dapat dinafikan terutamanya dalam pembayaran kembali, wanita boleh dipercayai dan lebih beramanah.

“Wanita-wanita ini bukan sekadar ‘jaguh kampung’ tetapi juga jaguh diperingkat nasional dan antarabangsa. MARA akan kembangkan dalam ‘Bestari To Gate A Global’, melalui bidang-bidang fokus dan banyak wanita terlibat secara langsung, terutamanya Food and Beverage (FnB) dan gaya hidup.

“Konteks halal untuk memperkasakan agenda halal wanita diselaraskan supaya tiada ‘duplication’. Tugas dan tanggungjawab bergerak seiring agar impaknya lebih besar. MARA kini lebih hebat apabila diperkasa dengan kehadiran Wanita UMNO dan BN. Sudah tentu impak dan keberhasilan tersebut dapat dilihat apabila berjaya melahirkan usahawan-usahawan baharu,” katanya pada program Pemerkasaan Wanita MARA dan Seminar Kenegaraan Malaysia Madani, peringkat negeri Sabah, semalam.

Turut hadir, Presiden UMNO merangkap Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin, Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Mohamad Alamin, Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad, Ketua- ketua UMNO Bahagian Sabah dan para peserta.

Beliau yang juga Setiausaha Agung UMNO menjelaskan dengan adanya program-program seperti ini, ia bukan sahaja dapat mendedahkan sistem keusahawan dan pembangunan yang ada pada MARA tetapi untuk membimbing mereka yang mahu mulakan perniagaan sehingga memasarkan produk-produk perniagaan mereka untuk diminati serta relevan.

Tambah Asyraf, MARA telah berkerjasama dengan Wanita UMNO untuk terus bergerak di bahagian-bahagian seluruh Malaysia.

“Saya berterima kasih pada Ketua Wanita UMNO Malaysia, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad yang bersama-sama dengan MARA untuk menggerakkan agenda ini di seluruh negara.

“Penglibatan Wanita cukup hebat di mana-mana saja dan tidak pernah rasa kecewa pada wanita-wanita. Kita ingin menggerakkan wanita-wanita di akar umbi khususnya mereka yang berkecimpung dalam sektor keusahawanan dan bermula atau pun mengembangkan perniagaan mereka dan juga yang lama dalam industri serta mahu berdaya saing dalam industri.

“MARA akan jadikan konteks ini dalam agenda besar, bukan saja untuk mereka yang bermula dalam perniagaan tetapi yang ingin meneruskan, menyumbangkan… dan paling penting adalah kelestariannya. Kita tidak mahu memberikan pembiayaan begitu saja tetapi mahu memastikan kejayaan dapat membantu serta mengembangkan lebih besar lagi,” ujarnya.

“Seterusnya kata beliau lagi, program dibawah sektor keusahawan MARA ini cukup penting untuk mendampingi usahawan-usahawan khususnya wanita yang menjadi ‘agen penting’ dalam masyarakat.

“Saya percaya sekiranya agen ini diperkasakan maka sektor ekonomi dikalangan masyarakat di akar umbi akan terus berkembang,” ujarnya lagi. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO