PRN Sabah: Ini Kalilah UMNO/BN Rampas Semula Sabah – Ahmad Zahid

PUTATAN, 18 Okt – Pengerusi Barisan Nasional (BN) merangkap Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan bahawa Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 merupakan peluang terbaik untuk UMNO dan BN merampas semula pentadbiran negeri itu.

Zahid yang juga Presiden UMNO berkata, berdasarkan analisis semasa, tiada satu parti pun yang akan muncul dominan sepenuhnya dalam PRN kali ini.

“Ini kalilah… ini kalilah peluang terbaik UMNO dan BN untuk merampas semula Negeri Sabah, tetapi hakikatnya dalam analisis tiada satu pun parti yang akan dominan. Insya-Allah… UMNO sanggup bekerjasama dengan mana-mana gabungan dan parti untuk membentuk kerajaan negeri supaya sama-sama berkongsi kuasa. BN berjanji untuk satu penggal pertama ini, akan melaksanakan semua aku janji yang tercatat dalam manifesto yang akan dilancarkan.

“Kita lupakan perbezaan di kalangan ahli, yang penting Sabah harus dibangunkan semula. Sabah mesti maju, rakyat Sabah mesti berada di garisan paling hadapan selepas PRN ke-17 ini. Beri peluang pada UMNO dan BN untuk membuktikan dengan kemenangan calon-calon yang diketengahkan oleh BN Sabah.

“Berilah peluang kali ini pada UMNO dan BN, kita tahu apa yang hendak kita lakukan… sesuatu yang lebih baik dari parti lain,” katanya.

Beliau merasmikan program Pemerkasaan Wanita MARA dan Seminar Kenegaraan Malaysia Madani, peringkat negeri Sabah, semalam.

Turut hadir, Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin, Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Mohamad Alamin, Ketua-ketua UMNO Bahagian Sabah serta peserta-peserta.

Mengulas lanjut, beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, pemberian autonomi kepada UMNO/BN Sabah membuktikan bahawa kepimpinan pusat menghormati dan mempercayai keupayaan rakyat negeri tersebut untuk menentukan hala tuju politik mereka sendiri.

“Kenapa UMNO/BN Sabah diberikan kuasa autonomi? Ini kerana kita tidak menganggap UMNO/BN Sabah sebagai parti Malaya, tetapi ini adalah parti rakyat Sabah. UMNO dan BN yang memberikan pembangunan di Sabah,” katanya lagi.

Tegas Ahli Parlimen Bagan Datuk itu, rakyat perlu menolak sentimen kenegerian sempit yang cuba dimainkan oleh pihak tertentu.

“Siapa kata Sabah untuk Sabahan? Ini negara Malaysia, bukan ada orang Sabah, Sarawak, Perak atau Semenanjung. Kita semua rakyat Malaysia yang taat setia pada negara tanpa mengira negeri. Di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung.

“Mereka melontarkan kebencian dan fitnah terhadap UMNO dan BN, padahal parti inilah yang sentiasa memperjuangkan nasib rakyat Sabah secara keseluruhan. Kita mesti menangkan semua calon UMNO dan BN dalam pilihan raya akan datang,”ujarnya. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO