PRN Sabah: Hormati Suara Akar Umbi, Tolak Pengkhianatan Politik – Sharif Musa

KUALA LUMPUR, 16 Okt – Ketua UMNO Bahagian Lahad Datu, Sharif Musa Sharif Mabul menegaskan bahawa kekuatan dan kejayaan UMNO dan Barisan Nasional (BN) mentadbir negara lebih enam dekad berpunca daripada tradisi parti yang menghormati keputusan serta kehendak akar umbi dalam menentukan pemimpinnya.

Menurutnya, sejarah telah membuktikan kestabilan dan keutuhan parti bergantung kepada pucuk pimpinan mendengar suara akar umbi, khususnya di peringkat cawangan dan bahagian.

Tegasnya, krisis dalaman dan pengkhianatan yang berlaku sejak tahun 2018 menjadi pengajaran besar kepada UMNO/BN Sabah agar tidak mengulangi kesilapan yang sama.

“Inilah punca pengkhianatan yang amat serius apabila tidak dibetulkan. Ia berlaku apabila calon yang dipilih bukan hasil persetujuan Bahagian, tetapi kerana lobi melobi atau kepentingan peribadi.

“Pengkhianatan selalu terjadi apabila usul-usul dari cawangan-cawangan tidak diterima atau diketengahkan. Apabila tiba masa Pilihan Raya Negeri (PRN) mahupun Pilihan Raya Umum (PRU), keputusan dibuat tanpa berpandukan kehendak akar umbi.

“Apabila keputusan mengikuti bahagian sudah pasti pengkhianatan tidak akan terjadi. Bahagian yang mengemas data-data pengundi dan menjaga Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditanding, maka Bahagian tahu dari mana punca kemenangan atau undi diraih,” katanya kepada UMNO Online.

Sharif Musa berkata, sekiranya pilihan akar umbi tidak diikuti, maka semua ketua-ketua cawangan dan ahli UMNO akan merasa kecewa, kerana apa yang diusulkan semasa mesyuarat akar umbi tidak diambil kira.

Seterusnya kata Sharif Musa lagi, setiap keputusan yang dibuat di peringkat Bahagian adalah berasaskan semangat perjuangan dan kesetiaan kepada parti, bukan atas kepentingan individu.

“Yakinlah dengan Bahagian-bahagian di seluruh Malaysia, apa yang mereka pilih adalah kebaikan parti kerana Bahagianlah yang menjadi ‘ayah dan ibu’ setiap Bahagian untuk menjaga segala aspek kepentingan untuk rakyat,” katanya lagi.

Tambah beliau lagi, setiap calon yang bakal diketengahkan oleh UMNO/BN menjelang PRN ke-17 akan melalui proses tapisan ketat bagi memastikan hanya mereka yang benar-benar setia dan berintegriti dipilih mewakili parti.

“Calon yang bakal diketengahkan adalah mereka yang telah ditapis kesetiaannya kepada parti, bukan kerana individu. Mereka wajib mengangkat sumpah setia kepada parti sebagai wakil parti untuk bertanding di mana-mana DUN yang diwakili.

“Jika ini berlaku, InsyaAllah… pengkhianatan politik tidak akan berulang lagi. Langkah itu penting bagi mengelakkan berulangnya episod pengkhianatan politik yang pernah menggugat kestabilan parti dan kerajaan sebelum ini,” tegasnya lagi. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO