Belanjawan 2026: Inisiatif Positif Untuk Golongan Muda – Mohd Syauqi
KUALA LUMPUR, 14 Okt – Exco Pemuda UMNO Malaysia, Mohd Syauqi Ibnihajar menyifatkan Belanjawan 2026 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 10 Oktober lalu sebagai menunjukkan peningkatan prestasi kewangan negara serta memberi tumpuan terhadap pembangunan golongan muda.
Beliau berkata, selepas hampir tiga tahun Kerajaan Perpaduan mentadbir yang turut disertai UMNO dan empat belanjawan dibentangkan, kali ini terdapat penambahbaikan dalam perbelanjaan urus negara termasuk penurunan defisit fiskal dan kadar inflasi yang rendah.
“Antara perkara yang menarik perhatian bagi golongan muda termasuk dana RM3 bilion oleh HRD Corp, latihan kepada 13,000 peserta tumpuan di bawah GiatMARA serta peruntukan RM15 juta bagi membudayakan sains, teknologi dan inovasi,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Mohd Syauqi, pelaksanaan Lemon Law juga dilihat relevan kerana ramai pembeli kereta kali pertama terdiri daripada golongan muda, selain insentif RM20 juta bagi mengukuhkan ekosistem kreatif digital seperti animasi dan permainan video tempatan.
Beliau turut menyambut baik pengecualian duti setem bagi pembelian rumah pertama bernilai sehingga RM500,000, namun berpendapat kerajaan perlu memperincikan langkah menangani isu kenaikan harga rumah di kawasan bandar.
Selain itu, katanya, peruntukan RM18.6 bilion kepada Kementerian Pengajian Tinggi akan memastikan IPTA terus beroperasi dengan baik dalam melahirkan generasi berpendidikan tinggi, manakala pelaksanaan insentif caruman padanan KWSP di bawah skim i-Saraan Plus boleh menjadi langkah awal melindungi pekerja ekonomi gig.
“Penyerapan doktor dan kakitangan kontrak Kementerian Kesihatan kepada perjawatan tetap wajar dipuji, dan pemberian pinjaman percuma PTPTN kepada pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah wajar diperluaskan kepada had pendapatan lebih tinggi,” ujarnya.
Secara keseluruhannya, beliau menyifatkan Belanjawan 2026 sebagai baik dan rakyat kini menunggu pelaksanaan serta keberkesanannya tahun depan.
“Saya menantikan perbahasan di Parlimen sama ada pihak kerajaan atau pembangkang yang diharap dapat memberi cadangan bernas dan membina. Ramai rakyat merasakan pembangkang ketika ini agak lesu, mungkin kerana pertelingkahan dalaman atau kekurangan idea baharu,” katanya. – UMNO Online
