KPKT Setuju Rombak URA Sebagaimana Cadangan UMNO, Mesti Berorientasikan Rakyat
KUALA LUMPUR, 5 Okt – Setiausaha Agung UMNO Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki bersyukur Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan telah bersetuju dengan desakan UMNO untuk menangguhkan pembentangan Akta Pembaharuan Semula Bandar (PSB/URA) untuk dilakukan rombakan besar sebagaimana resolusi Konvensyen Pembaharuan Semula Bandar anjuran UMNO kelmarin.
Ujar Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) itu dalam satu perkongsian di Facebook, RUU URA tidak boleh bersifat ‘Developer-Centric’ atau mengutamakan kepentingan pemaju sebaliknya ia mesti berorientasikan rakyat atau ‘People-Centric’ yang mengutamakan kebajikan dan kesejahteraan rakyat.

“Terlalu banyak lompongan dan kelemahan dalam draf awal RUU URA hinggakan kerajaan dilihat mengutamakan kepentingan pemaju yang berorientasikan keuntungan.
“Sebagaimana yang dibincangkan dalam Konvensyen kelmarin rombakan besar mesti dilakukan jika URA ingin dibentangkan semula. Ini termasuklah mengambil kira semua pandangan pihak berkepentingan termasuklah keresahan rakyat yang menjadi pemilik hartanah puluhan tahun, aspek budaya dan adat resam, kelestarian alam sekitar, pembangunan komuniti yang seimbang dan kuasa kerajaan negeri dalam hal-ehwal tanah,” katanya.
UMNO ujarnya, telah memberikan mandat kepada Naib Presiden Datuk Seri Johari Abdul Ghani untuk mengepalai pasukan khas bagi memperhalusi seterusnya membantu memperbaiki dan menambah baik segala kelemahan URA sebagaimana resolusi konvensyen.
Jumaat lalu, UMNO telah menganjurkan Konvensyen Pembaruan Semula Bandar.
Pada konvensyen itu, resolusi rasmi yang mengandungi 14 cadangan penambahbaikan telah diserahkan secara simbolik kepada Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebagai tanda komitmen bersama dalam memastikan RUU yang digubal kelak benar-benar melindungi hak pemilik hartanah serta memberi manfaat kepada rakyat. – UMNO ONLINE
