101 Ahli PPBM Masjid Tanah Keluar Parti Bukti Keyakinan Rakyat Kian Merosot – Kalsom Noordin

KUALA LUMPUR, 3 Okt – Ketua Wanita UMNO Negeri Melaka, Datuk Kalsom Noordin atau lebih dikenali sebagai ‘Kak Som’, menegaskan bahawa tindakan keluar beramai-ramai ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) membuktikan keyakinan rakyat terhadap parti itu semakin merosot.

Semalam, dilaporkan seramai 101 orang ahli akar umbi PPBM Bahagian Masjid Tanah, Melaka mengumumkan keluar daripada parti berkenaan serta-merta selepas hilang kepercayaan terhadap kepimpinan tertinggi mereka.

Kak Som yang juga Exco Hal Ehwal Wanita, Pembangunan Keluarga dan Kebajikan dalam hal ini menyatakan bahawa pemimpin PPBM bukan hanya pandai retorik tetapi juga gagal menunaikan janji.

“Satu je pesanan Kak Som kepada pemimpin PPBM… ingatlah, janganlah hidup seperti ayam bulu balik, berkokok satu kampung, tapi bontot penuh dengan tahi.

“Cakap biar serupa bikin…. janji biar dikota, bukan sekadar bising satu dunia. Perkara ini jelas menggambarkan bahawa semakin ramai ahli PPBM hilang kepercayaan terhadap pucuk kepimpinan parti,” katanya kepada UMNO Online. 

Ujarnya, kenyataan media yang dikeluarkan oleh Ketua Srikandi PPBM Cawangan Kampung Pinang, Masjid Tanah, Aliza Abd Yassin turut memperkukuh pandangan tersebut. 

“Beliau menegaskan bahawa ahli-ahli parti kini mendambakan hala tuju yang lebih jelas demi kestabilan politik dan kesejahteraan rakyat keseluruhan,” katanya.

Ujarnya, tindakan keluar parti secara beramai-ramai ini memberi tamparan kepada PPBM di Melaka, khususnya di kawasan Masjid Tanah yang sebelum ini menjadi kubu penting parti tersebut.

“Langkah keluar beramai-ramai itu sekali gus mengubah landskap politik setempat dan memberi gambaran jelas bahawa sokongan PPBM di Masjid Tanah dan Melaka yang semakin rapuh,” katanya lagi. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO