GSF Ditahan: Ahmad Zahid Tegaskan Malaysia Tidak Akan Berkompromi Dengan Kezaliman
KUALA LUMPUR, 2 Okt – Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengecam keras tindakan rejim Israel yang menahan misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla ke Gaza yang membawa sukarelawan dan bekalan bantuan penting kepada rakyat Palestin.
Beliau menegaskan, tindakan Israel itu sekali lagi membuktikan wajah sebenar rejim penjajah berkenaan yang tidak menghormati undang-undang antarabangsa dan hak asasi manusia.

“Kapal-kapal ini membawa sukarelawan serta bekalan penting untuk rakyat Palestin yang menderita akibat sekatan zalim. Namun mereka berdepan intimidasi, kekerasan dan paksaan,” katanya dalam satu kenyataan menerusi laman Facebooknya, hari ini.
Menurut beliau, misi tersebut adalah simbol solidariti, kasih sayang dan harapan dunia terhadap Palestin. Justeru, tindakan Israel bukan sahaja kezaliman terhadap rakyat Gaza, tetapi turut dianggap penghinaan kepada suara kemanusiaan sejagat.
Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO berkata, seperti ditegaskan Perdana Menteri, Malaysia akan menggunakan segala saluran sah untuk memastikan Israel dipertanggungjawabkan, khususnya berkaitan keselamatan warganegara Malaysia yang terbabit dalam misi tersebut.
“Keselamatan mereka adalah keutamaan dan dalam hal ini, kita tidak akan berkompromi,” tegasnya.
Tambahnya lagi, beliau mengikuti rapat perkembangan misi itu sejak awal, termasuk berhubung secara langsung dengan sukarelawan kemanusiaan Malaysia.
“Saya tahu dugaan mereka amat besar, cabaran yang dihadapi tidak mudah. Namun doa seluruh rakyat Malaysia sentiasa bersama mereka. Semoga Allah SWT melindungi dan mengurniakan kekuatan untuk mereka meneruskan misi mulia ini,” katanya.
Ahmad Zahid menegaskan bahawa Malaysia akan terus berdiri teguh bersama Palestin sehingga keadilan dan kebebasan dapat dicapai oleh rakyat negara berkenaan. – UMNO Online
